‘Youtuber’ FS Channel bantu promosi penjaja,peniaga kecil

‘Youtuber’ FS Channel bantu promosi penjaja,peniaga kecil

KUALA LUMPUR,. “Sejak kecil saya selalu diingatkan ibu bapa dan orang di sekeliling tentang kehebatan bersedekah, kita tidak akan jatuh miskin malah Tuhan akan membalas berlipat kali ganda kalau kita bersedekah.”

Itu reaksi penggiat YouTube, Mohd Fahmi Abdullah Sani, 30, ketika diminta berkongsi pengalamannya bersama seorang lagi rakan Mohamad Ridhwan Haron, 30, yang melakukan kerja amal dengan memuat naik video di Facebook, Instagram dan YouTube bagi mempromosikan perniagaan penjaja secara percuma.

Menggunakan nama saluran FS Channel, kini ia mempunyai lebih 800,000 pengikut di Facebook dan hampir 300,000 di YouTube selain 29,000 di Instagram.

Mohd Fahmi berkata kerja amal itu bermula apabila dia dan Mohamad Ridhwan sepakat menghasilkan kandungan video yang dapat memberi manfaat kepada netizen, pada masa sama membantu mempromosi perniagaan penjaja dan peniaga kecil.

“Niat kami hanya ingin membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan meluaskan perniagaan mereka melalui video sehingga ia ditularkan oleh netizen menerusi media sosial,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam setiap video yang dihasilkan, Mohd Fahmi dan Mohamad Ridhwan dilihat sentiasa menyantuni penjaja, mengulas tentang makanan yang dirakam dalam video dan lazimnya mereka juga akan membeli kesemua makanan penjaja yang disantuni untuk disedekahkan kepada orang ramai.

Selain itu, maklumat berkenaan alamat, nombor telefon dan lokasi gerai setiap penjaja juga disertakan bagi memudahkan netizen berkunjung.

Sejak dimulakan pada Ogos tahun lepas, hingga kini sebanyak 80 penjaja di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah mereka bantu.

Mohd Fahmi berkata pada peringkat awal kerja amal itu, mereka mengeluarkan modal sendiri untuk membeli makanan yang dijual penjaja untuk dijadikan bahan dalam kandungan video serta sumbangan duit kepada penjaja yang menjayakan penghasilan video itu.

“Apabila jumlah pengikut semakin bertambah dan lebih banyak tontonan di setiap video, maka pendapatan yang kami terima melalui Facebook dan YouTube sebahagiannya disumbangkan kembali kepada penjaja.

“Jadi, ini juga adalah hasil daripada usaha netizen yang menonton dan kongsikan video kami, secara tidak langsung mereka sebenarnya bersedekah kepada setiap penjaja,” katanya yang bekerja sendiri.

Sementara itu, Mohamad Ridhwan berkata antara kriteria pemilihan penjaja untuk dipromosi ialah mereka yang sudah berumur, mualaf, orang kurang upaya (OKU), baru memulakan perniagaan dan menjual makanan murah dan sedap.

“Ada juga penjaja yang kami bantu telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka. Contohnya penjaja Donut Sempoi di Tanjung Karang, Selangor. Jika dulu, sehari hanya jual 200 biji donat, namun selepas tular dalam video, jualannya kini 1,500 biji dalam dua jam dan terpaksa menambah pekerja,” katanya yang berhasrat meluaskan video penjaja itu ke seluruh Malaysia pada masa akan datang.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )