YaPEIM sasar lebih 2,500 usahawan wanita dapat manfaat pembiayaan Ar-Rahnu BizNita

YaPEIM sasar lebih 2,500 usahawan wanita dapat manfaat pembiayaan Ar-Rahnu BizNita

KUALA LUMPUR,. Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) menyasarkan lebih 2,500 usahawan wanita bakal menerima manfaat menerusi aktiviti pembiayaan Islam Ar-Rahnu BizNita berjumlah RM50 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan berkata berdasarkan data agensi itu pada tahun lalu, 64 peratus daripada lebih 8,000 penggadai adalah dalam kalangan usahawan wanita dengan jumlah gadaian sebanyak RM100 juta.

“Kita lihat semasa situasi pandemik COVID-19, ramai usahawan wanita menggunakan aset (emas) yang mereka ada untuk mendapatkan pembiayaan bagi meneruskan dan menceburi bidang perniagaan baharu.

“Jadi ia (Ar-Rahnu BizNita) datang pada masa yang tepat sejajar dengan pakej lain yang disediakan YaPEIM antaranya bimbingan perniagaan, jalinan rangkaian dan pensijilan halal bagi memperkasakan lebih ramai usahawan wanita di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran dua produk baharu, Dinar Emas 999.9 dan wafer emas edisi Asma ‘Ul Husna yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Parihah berkata antara syarat yang melayakkan pembiayaan Islam Ar-Rahnu BizNita ialah perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai emas sebagai cagaran.

Mengenai pelancaran dua produk tersebut, beliau berkata Dinar Emas seberat 4.25 gram itu akan dijual pada harga pasaran RM1,250 bagi setiap keping manakala kepingan wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna dijual pada harga RM330 bergantung kepada harga emas semasa. — Bernama

“YaPEIM menyasarkan untuk mengeluarkan 5,000 kepingan dinar emas setahun dan yakin dapat menawarkan produk berkaitan emas dengan rekaan eksklusif kepada pelanggan.

“Pada masa sama, bermula bulan ini kita akan mengeluarkan dua kepingan wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna bermula dengan ‘Ar-Rahman dan Ar-Rahim’ dan ia akan dikeluarkan sehingga 99 keping secara berperingkat setiap bulan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )