Usahawan ECER raih pendapatan lumayan jual 50 jenis produk masakan

Usahawan ECER raih pendapatan lumayan jual 50 jenis produk masakan

KOTA BHARU,. Kegigihan dan minat memasak menjadikan seorang peserta program ‘Empower ECER’ yang dianjurkan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kini mampu menyediakan lebih 50 menu masakan, sekali gus mengubah kehidupannya sejak 2016.

Roshayati Shamsuddin, 47, berkata apa yang dipelajari setelah menyertai Kursus 30 Modul Empower ECER Ketereh selama enam bulan digarap dengan baik menerusi jualan kuih-muih, kek, roti, pelbagai jenis lauk-pauk untuk katering dan kerepek jejari bilis.

“Sebelum ini saya hanya berniaga pisang goreng di Ketereh selama dua tahun dengan pendapatan RM700 sebulan, sehinggalah saya bertemu dengan kursus yang ditawarkan Empower ECER Ketereh, saya gunakan ilmu masakan dengan berniaga secara langsung dan dalam talian.

“Alhamdulillah, usaha saya berjaya tetapi kita kena betul-betul rajin, tidak putus melayan permintaan pelanggan dan sentiasa memperbetulkan kaedah masakan supaya lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Mustakim, Padang Raja Melor di sini, hari ini.

Menurutnya, tugas harian memasak dan memasarkan masakannya menjadi ringan apabila suaminya, Ahmed Lokman Umar, 49, yang juga pesara tentera, turut membantu.

Roshayati berkata berbekalkan ilmu dan kerajinan itu, beliau memperoleh pendapatan purata RM2,000 sebulan dan mampu menyara empat anak berusia 11 tahun hingga 23 tahun dengan menggunakan jenama ‘Cik Tiey Homemade’.

Sementara itu, Pengarah Program Empower ECER- Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Surain Kanda berkata Roshayati adalah peserta ‘Program Empower 2016-Celebrity Chef’ dan telah mencapai peningkatan pada 2018/2019 melalui Kursus Pembangunan Usahawan dan telah dipilih bersama 20 peserta lain untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Inisiatif beliau yang suka belajar dan meningkatkan diri sangat dikagumi, yang mana beliau sanggup menjadi pembantu pelatih semasa peserta baharu menyertai kursus. Dari situ, beliau dilihat amat berdikari, membina rangkaian perniagaan sekali gus menjalankan promosi produknya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )