Usaha promosi pembuatan berteknologi tinggi penting demi ekonomi mampan

KUALA LUMPUR: Usaha mempromosi sektor pembuatan khususnya industri pengeluaran berkapasiti tinggi dan pintar perlu diutamakan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, bagi meningkatkan rantaian nilai di samping mengukuhkan daya saing di peringkat antarabangsa, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020.

Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sektor pembuatan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan negara, di mana ia berkembang pesat enam peratus setahun dari 2011 serta menyumbang 22.4 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 8.6 peratus pada 1960.

Katanya, sektor itu menggaji 2.5 juta tenaga pada 2018, di samping mencatat 47.4 peratus daripada aliran masuk bersih pelaburan langsung asing yang berjumlah RM32.6 bilion pada tahun berkenaan, di mana barangan pembuatan menyumbang 80 peratus daripada jumlah eksport.

Bagaimanapun, katanya sektor itu terus berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran termasuk deindustrialisasi pramatang, penggunaan teknologi dan pembangunan bahan tempatan yang rendah serta defisit kemahiran.

“Malaysia mula mengalami deindustrialisasi sejak 2000 kesan daripada kejatuhan dalam guna tenaga dan sumbangan output sektor pembuatan.

“Selain itu, kekurangan landskap polisi serta penambahbaikan teknologi dan penyelarasan kerajaan terhadap industri menyebabkan perkembangan perlahan sektor pembuatan dalam meningkatkan rantaian nilai,” katanya.

Menurut laporan itu, berbanding Korea Selatan dan Taiwan, guna tenaga yang rendah dalam segmen bernilai tambah tinggi, boleh menyebabkan deindustrialisasi pramatang.

Katanya, meskipun berlaku pertumbuhan kukuh dan peningkatan dalam kecanggihan produk eksport di dalam negara, Produktiviti Faktor Keseluruhan (TFP) tidak meningkat atas faktor disebabkan oleh negara terlalu bergantung kepada syarikat multinasional (MNC) dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam meningkatkan eksport dan pemindahan teknologi.

“Tambahan pula, syarikat Malaysia tidak mampu mencipta teknologi yang menjadi prasyarat dalam inovasi dan peningkatan produktiviti.

“Selain itu, aktiviti penyelidikan; pembangunan; pengkomersialan; dan inovasi industri pembuatan khususnya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sering dibatasi oleh sumber yang terhad. Akibatnya, kebanyakan usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan dan MNC,” katanya.

Menurut laporan itu, walaupun terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan oleh institusi penyelidikan awam, namun hasil penemuan tidak sepadan dengan keperluan industri telah menjadikan pemain industri lebih cenderung menggunakan teknologi sedia ada tanpa membuat penambahbaikan menyebabkan industri jauh ketinggalan daripada aspek teknologi jika dibandingkan dengan Ekonomi Perindustrian Baharu. – BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )