Tribunal Tuntutan Pengguna jalan terakhir penyelesaian isu J&T dan peniaga

Tribunal Tuntutan Pengguna jalan terakhir penyelesaian isu J&T dan peniaga

IPOH,. Para peniaga dalam talian yang mengalami kerugian susulan kejadian pengagihan bungkusan secara ganas di sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran barangan di Perak boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata TTPM adalah jalan terakhir penyelesaian bagi pihak penjual dan syarikat perkhidmatan penghantaran barangan.

“Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak belum menerima sebarang aduan atau tuntutan di TTPM berkenaan isu syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express yang tular baru-baru ini.

“Kemungkinan para penjual masih menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak J&T Express,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan sempena pelaksanaan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Besar Ipoh di sini semalam.

Abdul Yunus berkata pihak peniaga yang ingin membuat tuntutan boleh mengikut prosedur dengan hadir ke pejabat tribunal di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau di daerah-daerah di Perak.

“Bagi kerosakan barangan pula perlu diselesaikan di mahkamah tuntutan kecil yang berharga tidak lebih RM5,000,” katanya.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan beberapa pekerja syarikat berkenaan membaling barangan pelanggan dengan ada yang berteriak dipercayai tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah pembayaran gaji.

Turut tular menerusi laman sosial, gambar-gambar barangan diterima pelanggan yang membeli barangan secara dalam talian yang dihantar secara pengeposan menggunakan perkhidmatan syarikat itu mengalami kerosakan teruk.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )