Total Lockdown: 366 permohonan peroleh kebenaran beroperasi, 1,420 ditolak – MCMC

Total Lockdown: 366 permohonan peroleh kebenaran beroperasi, 1,420 ditolak – MCMC

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat semalam telah memperakui 366 permohonan surat kebenaran beroperasi dan pergerakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu yang berperanan sebagai agensi pengesahan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) bagi sektor telekomunikasi dan internet, penyiaran serta pos dan kurier memaklumkan perakuan itu diberikan kepada sebahagian daripada 1,786 permohonan.

Daripada jumlah tersebut, 132 kelulusan melibatkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi, 108 berkaitan penyiaran dan 126 berkaitan pos dan kurier.

MCMC berkata baki 1,420 permohonan ditolak kerana perkhidmatan bukan di bawah sektor komunikasi; perkhidmatan walaupun di bawah sektor komunikasi, namun bukan pemegang lesen atau menjalankan perkhidmatan perlu; atau tidak tersenarai sebagai vendor, pengedar atau ejen yang disahkan pemegang lesen.

“Untuk memastikan kelancaran proses pengesahan serta memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan kebenaran beroperasi dan pergerakan dengan segera, MCMC memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan status syarikat adalah tergolong dalam perkhidmatan perlu,” katanya.

MCMC memaklumkan, bagi mereka yang bukan pemegang lesen yang dikeluarkan suruhanjaya itu, syarikat perlu mendapat pengesahan pihak pemegang lesen yang berkaitan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui CIMS.

CIMS merupakan pusat sehenti yang diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pengeluaran surat kebenaran beroperasi dan pergerakan semasa PKP kepada semua sektor industri yang dianggap sebagai perkhidmatan perlu, termasuk sektor komunikasi.

MCMC memaklumkan, proses kelulusan melalui CIMS bagi sektor di bawah pemantauan suruhanjaya itu dijalankan secara telus dan teliti bersandarkan matlamat meneruskan kesinambungan perkhidmatan perlu kepada rakyat serta mengelakkan penyalahgunaan surat kebenaran yang diberikan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa MITI akan bertindak sebagai kementerian pusat bagi memproses permohonan syarikat perkhidmatan perlu untuk beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh mulai 1 hingga 14 Jun.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )