Tiga syarikat Malaysia meterai MoU bernilai RM100 juta di Ekspo 2020 Dubai

Tiga syarikat Malaysia meterai MoU bernilai RM100 juta di Ekspo 2020 Dubai

KUALA LUMPUR,. Tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta dengan tiga rakan niaga antarabangsa berpotensi pada acara Ekspo 2020 Dubai, semalam.

Pemeteraian itu membabitkan Propeasy Sdn Bhd dan Mahaley Marketing, Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV dari Belgium selain Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC, menurut kenyataan SME Corp Malaysia (SME Corp) yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Syarikat tempatan terbabit adalah sebahagian daripada 17 syarikat permulaan dan PKS berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai – Minggu PKS Malaysia yang diketuai oleh MEDAC menerusi SME Corp sebagai agensi pelaksananya.

Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad berkata penglibatan kementerian di acara perdagangan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangkitkan semula peranan syarikat permulaan dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara menerusi sokongan serta kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan yang berpotensi.

“Ini akan membantu di dalam mempertingkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global,” katanya.

Menurut MEDAC, fokus industri yang diketengahkan melalui syarikat permulaan dan PKS pada kali ini adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Inovasi, perubatan dan kesihatan serta perkhidmatan berkaitan dron.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )