Tiada keperluan wujud pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing –  Ahmad Hamzah

Tiada keperluan wujud pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing – Ahmad Hamzah

CAMERON HIGHLANDS,. Tiada keperluan untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil tanaman di Tanah Tinggi Lojing bagi mengatasi masalah lambakan sayur-sayuran yang berlaku di kawasan itu, kataTimbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata ini kerana pusat pengumpulan hasil tanaman sedia ada di Kampung Raja yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) telah kembali beroperasi kerana ia tertakluk di bawah perkhidmatan perlu.

“Di Lojing, sebenarnya lambakan itu berlaku semasa kita tidak membenarkan pergerakan. Sekarang kita bersyukur kerana semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 18 Jun lepas telah memberikan kelonggaran supaya ada pergerakan selepas mengambil kira laporan daripada kementerian.

“Kita juga belum bercadang untuk membuka pusat pengumpulan di Lojing kerana pada ketika ini, pusat pengumpulan di Kampung Raja merupakan tempat pengumpulan paling strategik yang meliputi kemudahan seperti tempat penyediaan pembungkusan dan pengedaran,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lojing Sempadan Kampung Raja di sini hari ini.

Ahmad juga berkata pusat pengumpulan di Kampung Raja membekalkan kira-kira 560 tan metrik hasil pertanian sehari untuk dipasarkan ke seluruh negara dan dieksport ke Singapura.

“Ini merupakan kawasan utama pengeluaran hasil pertanian di negara ini dan untuk makluman, sebanyak 50 peratus hasil pengeluaran dihantar ke Kuala Lumpur, Ipoh sebanyak 16 peratus, di tempat-tempat lain sembilan peratus dan selebihnya, iaitu 25 peratus, dieksport ke Singapura,” katanya.

Beliau juga berkata semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian di Kampung Raja boleh menjalankan aktiviti seperti biasa namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepertimana ditetapkan oleh kerajaan di kawasan PKPD.

“Pertama, SOP bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan maknanya mereka yang bergejala tidak dibenarkan (bekerja). Kedua, tiada pergerakan keluar yang mana mereka tidak boleh keluar dari kawasan (PKPD) tersebut,” katanya.

Dilaporkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan negeri itu bersetuju meneliti cadangan penubuhan pusat pengumpulan hasil pertanian di Tanah Tinggi Lojing bagi menangani masalah lambakan di kawasan tersebut.

Beliau berkata langkah penyediaan kemudahan itu perlu diteliti dari pelbagai aspek untuk memberi manfaat khususnya kepada Persatuan Pengusaha Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )