Terengganu harap pakej survival jangka masa sederhana, panjang dalam Belanjawan 2021

Terengganu harap pakej survival jangka masa sederhana, panjang dalam Belanjawan 2021

KUALA TERENGGANU,. Terengganu berharap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini menerapkan satu pakej survival jangka masa sederhana dan panjang untuk rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Belanjawan 2021 sepatutnya adalah kesinambungan kepada pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan sebagai usaha memulihkan ekonomi rakyat dan negara yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Saya berpandangan tiga teras yang menjadi tunjang dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN dan PENJANA iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Memulihkan Ekonomi wajar diteruskan, malah lebih meluas serta merentasi pelbagai kementerian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata belanjawan pada kali ini juga perlu menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian terhadap keperluan asas untuk golongan terjejas terutama mereka yang telah kehilangan sumber pendapatan.

“Program Subsidi Upah yang memasuki fasa kedua serta perancangan di bawah inisiatif Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) perlu sentiasa dipantau dan ditambah baik supaya objektif asal mengurangkan kadar pengangguran dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata Belanjawan 2021 diharap memberi keutamaan kepada sektor kesihatan termasuk memberi insentif kepada petugas barisan hadapan, selain tidak melupakan sektor pendidikan dan pertanian yang menjadi teras kemapanan pembangunan negara pada masa hadapan.

Katanya, belanjawan kali ini juga harus memperkasakan semula ekonomi rakyat secara mikro bermula daripada mendapatkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah, kuasa beli pengguna dan seterusnya mengukuhkan permintaan agregat.

Ahmad Samsuri berkata Belanjawan 2021 perlu melonjakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tunjang ekonomi negara ketika ini, termasuk meneruskan pelbagai inisiatif digitalisasi perniagaan yang ditawarkan dalam PENJANA sebelum ini, seperti Kempen E-dagang.

“Ia relevan untuk diteruskan namun saya mengharapkan capaian kepada PKS di luar bandar turut diberi perhatian khusus oleh kerajaan. Selain itu, bentuk bantuan tunai, moratorium dan sebagainya boleh terus menjadi pilihan untuk dilaksanakan tetapi secara bersasar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berharap kerajaan dapat mengelakkan pemberian peruntukan kepada perkara yang tidak perlu serta tidak memberi manfaat buat rakyat dan negara.

Tambahnya, pelbagai bantuan yang diberikan perlu diselaraskan secara berpusat dan mempunyai koordinasi yang baik supaya maklumat berkaitan bantuan tidak hanya kepada kumpulan tertentu dan semua pihak dapat membuat permohonan bagi bantuan tersebut dengan mudah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )