Tembikai susu laris ketika Ramadan

KUALA SELANGOR,. Tanggapan pengusaha kebun tembikai susu atau honey dew di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor bahawa buah yang dipetik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu tidak terjual ternyata silap kerana permintaan daripada pemborong melebihi hasil kebun.

Saiful Anuar Suad yang mula terlibat dalam bidang penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran sejak 2012 berkata, tembikai susu diusahakan di atas tanah berkeluasan satu ekar itu telah mengeluarkan hasil sebanyak lapan tan pada Mac lalu.

Saiful Anuar bersama buah tembikai susu yang dipetik di kebun miliknya.

“Ketika PKP pertama dilaksanakan, tembikai di kebun telah memasuki fasa masak dan boleh dipetik pada bila-bila masa. Pada masa itu, saya sangkakan PKP tidak disambung tetapi kerajaan menyambung lagi PKP bagi fasa dua.

“Ketika itu saya sedikit risau jika ia tidak terjual selepas kebun memberikan hasil memuaskan tahun ini. Saya cuba menghubungi rakan-rakan pemborong dan ada juga mengiklankan di media sosial seperti Facebook berkenaan jualan borong serta runcit. Alhamdulillah, permintaan daripada pemborong cukup tinggi melebihi hasil kebun,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain tembikai susu, lelaki berusia 31 tahun itu berkata, dia juga mengusahakan tembikai merah dan kuning yang telah habis dituai sebelum PKP lagi.

Saiful Anuar mengusahakan tanah seluas 2 ekar tanah bagi tanaman tembikai merah dan kuning serta tembikai susu di Kampung Sungai Haji Dorani.

“Setakat ini jumlah tuaian terkumpul bagi tembikai susu yang telah dijual kepada pemborong adalah sebanyak 21 tan. “Kalau ikutkan setiap hari kita petik kira-kira 1 tan tetapi masih tidak cukup untuk tampung permintaan. Selain menjual tembikai secara pukal, Saiful Anuar berkata, dia turut menjual secara runcit kepada penduduk di kawasan sekitar pada harga berpatutan.

“Saya cuma ambil keuntungan minimum sahaja kepada mereka yang datang membeli di kebun saya. Selain berniaga kita bersedekah di bulan yang mulia ini,” katanya.  Saiful Anuar berkata, tembikai susu di Sabak Bernam adalah antara yang terbaik kerana rasanya lebih manis berbanding di kawasan lain.

“Ada satu kajian yang dibuat oleh Taiwan mendapati antara faktor menyebabkan buah kita lebih sedap berbanding mereka ialah faktor tanah di tepi laut.  “Ini antara sebab saya usahakan tanaman ini kerana kita mempunyai kelebihan daripada jenis tanah yang memberikan rasa lebih baik,” katanya.

Tembikai susu dipetik dikumpul terlebih dahulu sebelum diambil oleh pemborong.

Berbakti

Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kebudayaan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), namun ia tidak menghalang Saiful Anuar untuk berbakti kepada tanah.

Katanya, dia mula berjinak-jinak dalam dunia pertanian sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di universiti berkenaan.  Menurutnya, dia berhasrat untuk menanam buah-buahan dan sayu-sayuran dalam skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan setempat jika mempunyai modal.

“Setakat hari ini, saya mengusahakan kira-kira tujuh ekar tanah bagi tujuan pertanian yang disewa daripada penduduk di Kampung Sungai Haji Dorani ini. “Setahun akan ada tiga musim penanaman iaitu buah-buahan seperti tembikai, kemudian sayur dan jagung,” katanya.

Menurutnya, menanam buah bukan satu pekerjaan mudah kerana ia menuntut disiplin yang tinggi. “Kalau kita tak ikut disiplin ketika membaja dan meracun buah tidak akan menjadi, malah, buah juga mudah rosak dan diserang oleh penyakit,” katanya.

 

— SINARHARIAN

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )