TEKUN Nasional salur pembiayaan RM557.3 juta libatkan 49,901 usahawan

TEKUN Nasional salur pembiayaan RM557.3 juta libatkan 49,901 usahawan

KUALA LUMPUR,. TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada seramai 49,901 orang usahawan di seluruh negara, melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM557.3 juta sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, agensi kementeriannya seperti TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan kepada semua sektor perniagaan, dengan nilai sebanyak RM1,000 sehingga RM100,000 dan usahawan boleh memohon mendapatkan pembiayaan di bawah agensi itu melalui program pembiayaan sedia ada.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah menjalankan program bimbingan khas bagi pengamal industri perkahwinan sejak 2017, termasuk usahawan di dalam bidang katering, perkahwinan, khemah dan lokasi.

“Seramai 120 orang usahawan telah dibimbing untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. INSKEN sebagai pusat latihan keusahawanan juga telah menyalurkan pelbagai sesi latihan, ‘coaching’, dan mentoring kepada usahawan, antaranya ‘INSKEN Business Coaching (IBC) Wedding Planner’, ‘INSKEN Business Training (IBT)’ dengan penyertaan seramai 4,759 usahawan melibatkan 118 sesi sehingga pertengahan Oktober tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, perkara itu turut dijelaskan semasa sesi soalan bagi menjawab Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada 17 Nov, berkenaan langkah khusus MEDAC membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan di Malaysia, ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang terbeban dengan banyak pembatalan dan SOP yang ketat.

Wan Junaidi turut menasihatkan usahawan yang terlibat dalam industri perkahwinan agar dapat memperluaskan skop perniagaan kepada konsep yang berlandaskan norma baharu.

“Sebagai contoh usahawan yang terlibat dalam penyediaan makanan boleh mengguna pakai platform penghantaran makanan seperti Grab, Foodpanda, dan sebagainya.

“Usahawan juga boleh mencuba perniagaan berlandaskan kepakaran dan kreativiti sedia ada. Sekiranya ada kepakaran dalam bidang pengendalian majlis perkahwinan, usahawan boleh mencuba untuk melebarkan konsep bagi mengendalikan majlis yang berskala kecil, dan tidak tertumpu hanya kepada majlis perkahwinan sahaja,” katanya.

Wan Junaidi berkata MEDAC sentiasa menyarankan kepada usahawan untuk mengadaptasi perniagaan dengan norma baharu kehidupan, perkasakan perniagaan melalui digitalisasi dan memperhebatkan strategi promosi.

“Kemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh Agensi Kerajaan bagi mendapatkan ‘perniagaan cara baru,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )