TBRS: Kerajaan lulus RM20.17 juta dalam tempoh kurang sebulan

KOTA BHARU,. Kerajaan meluluskan pembiayaan RM20.17 juta dalam tempoh kurang sebulan kepada Tekun Nasional melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sejak TBRS dilancarkan pada 13 Julai, pihaknya menerima 6,454 permohonan pembiayaan bernilai RM58.08 juta di seluruh negara.

“Untuk skim TBRS, kerajaan telah memperuntukkan dana RM100 juta dan daripada jumlah itu, sehingga 3 Ogos, sebanyak 2,774 permohonan usahawan diluluskan melibatkan nilai pembiayaan bernilai RM20.17 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pembiayaan Tekun bernilai RM100,000 kepada pengusaha Keropok House, Meriam Mohd, 55, di Pasar Padang Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.

Mas Ermieyati berkata menerusi skim TBRS, usahawan layak memperoleh nilai pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar faedah hanya 3.5 peratus dalam tempoh setahun.

Menurutnya 623 permohonan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM5.101 juta diterima di Kelantan.

“Menerusi skim ini, kerajaan benar-benar ingin membantu usahawan-usahawan yang terjejas akibat COVID-19 dengan segera. Malah, kelulusan permohonan juga dilonggarkan dan dipermudahkan dengan tempoh kelulusan hanya tujuh hari, selain hanya enam dokumen diperlukan berbanding sebelum ini, 17 dokumen,” katanya.

Mas Ermieyati berkata sehingga kini kira-kira 58.55 peratus usahawan terjejas akibat pandemik COVID-19, dan daripada jumlah itu sebanyak 8.5 peratus sudah gulung tikar.

“Dengan adanya bantuan dan pelbagai insentif yang diumumkan oleh kerajaan kepada usahawan mikro, pihak kami mendapati masih ramai peniaga yang mampu bertahan sehingga kini.

“Apa yang kita khuatir adalah usahawan ‘informal’ yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebagainya, sedangkan dengan adanya SSM atau berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ia sudah dapat melayakkan usahawan untuk dibantu menerusi skim TBRS ini,” katanya.

Beliau turut menggalakkan usahawan mikro agar menceburi perniagaan dalam talian untuk kekal relevan terutama dalam tempoh penularan wabak COVID-19. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )