Strategi niaga serunding berubah

TUMPAT,. Seperti peniaga lain yang mulai menukar konsep jualan disebabkan terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), pengusaha serunding di daerah ini juga terpaksa beralih kepada jualan dalam talian.

Pembeli secara langsung datang ke premis sudah boleh dikira dengan jari kerana kekangan akibat PKP menyebabkan seorang pengusaha serunding di Kampung Laut, Mohd Farhan Ramli, 34, mempergiatkan iklan dan promosi melalui laman sosial.

Beliau berkata, berbanding sebelum PKP, urusan kiriman serunding sudah agak aktif, malah kini semakin rancak disebabkan pembeli sudah tidak boleh datang secara terus ke premisnya di Taman Warisan Jaya, di sini.


“Tidak menang tangan kami menguruskan urusan mengirim serunding yang bukan sahaja ke luar Kelantan malah di daerah bersebelahan (Kota Bharu) juga perlu dipos kerana ‘runner’ tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya.

“Bagaimanapun jika dahulu kami menghasilkan 100 kilogram (kg) serunding sehari tapi bermula PKP ini hanya 60 hingga 80kg sahaja mampu dihasilkan,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini, semalam.

Mohd Farhan berkata, walaupun konsep jualan dalam talian sangat relevan dalam situasi sekarang, tetapi tempahan tidak boleh diambil secara banyak kerana berdepan kekangan bahan mentah.

Katanya, bekalan daging lembu tempatan sangat sukar diperoleh kerana individu yang bertindak sebagai penyembelih tetap sudah tidak lagi menyembelih lembu kerana enggan ingkar PKP.

“Disebabkan itu saya terpaksa membeli daging secara runcit dari beberapa gerai menjual daging sekitar Tumpat bagi mencukupkan untuk penghasilan sehingga 80kg serunding setiap hari.

“Atas faktor itu juga saya tidak boleh mengambil tempahan melebihi dari keupayaan penghasilan serunding dan lebih mengutamakan agen atau ‘dropship’ yang sudah biasa berurusan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha serunding dari Kampung Langgar, Kota Bharu, Mohd Hafiz Abdullah, 33, berkata dia semakin kerap memuat naik gambar produk serunding yang diusahakan menerusi laman sosial apabila melihat kaedah jualan dalam talian adalah langkah berkesan dalam jangka masa sekarang.

“Jika dulu saya jarang mengemaskini mengenai produk jualan di Facebook tapi kini perlu membuat iklan secara kerap.

“Walaupun sambutannya tidak sebaik pembelian secara langsung tapi sekurang-kurangnya perniagaan masih berjalan cuma berasa sedikit simpati kepada agen yang sudah tidak boleh datang membeli sekaligus pendapatan sampingan mereka juga terputus,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )