StanChart umum pembiayaan RM4.37b

KUALA LUMPUR,. Standard Chartered (StanChart) mengumumkan untuk membiayai sebanyak AS$1 bilion (RM4.37 bilion) untuk syarikat yang menyediakan barang dan perkhidmatan untuk membantu memerangi Covid-19 dan mereka yang merancang menghasikan produk yang mendapat permintaan tinggi untuk memerangi wabak melanda seluruh dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Korporat, Institusi Perbankan dan Perdagangan StanChart, Simon Cooper berkata, ia memerlukan kos bagi syarikat untuk beralih ke barangan yang mendapat permintaan tinggi itu dan kumpulan itu ingin membantu dan memberi sokongan kepada pengilang serta penyedia perkhidmatan yang mereka perlukan.

“Kami berhasrat untuk menyediakan kadar istimewa, sekurang-kurangnya pembiayaan AS$1 bilion kepada syarikat ini dalam bentuk pinjaman, pembiayaan import/eksport atau kemudahan modal kerja untuk operasi perniagaan harian dan membantu pengilang sedia ada mendapatkan produk mereka untuk dipasarkan,” katanya.

Syarikat yang mempunyai skop termasuk pengeluar dan pengedar dalam industri farmaseutikal dan penyedia penjagaan kesihatan serta syarikat bukan perubatan yang menawarkan diri untuk menambahkan kemampuan ini kepada pengeluaran pembuatan mereka.

Produk termasuk ventilator, topeng muka, peralatan pelindung, cecair pembasmi kuman dan lain-lain.

Beliau berkata, kumpulan itu berusaha untuk mengenal pasti syarikat yang mungkin ingin beralih atau menambahkan produk antivirus ke dalam pembuatan mereka, tetapi belum menunjukkan bahawa mereka akan melakukannya ketika ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Malaysia, Abrar A Anwar berkata, pembiayaan tertakluk kepada kelulusan yang diperoleh syarikat dari pihak berkuasa untuk beroperasi pada tempoh ini.

“Dalam usaha menentang pandemik ini, semua perkara perlu diambil kira. Kami lakukan apa yang boleh untuk menyokong mereka yang di depan atau bergerak di belakang.

“Kami melihat Malaysia berjaya melalui pelbagai cabaran sepanjang 145 tahun kami di sini, dan kami yakin Malaysia dapat menempuh krisis ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )