SPIN sedia RM50 juta bantu usahawan tidak formal – Wan Junaidi

SPIN sedia RM50 juta bantu usahawan tidak formal – Wan Junaidi

PUTRAJAYA,. Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) hari ini melancarkan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu membiayai usahawan sektor tidak formal yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SPIN dijangka memberi manfaat kepada 10,000 usahawan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapat pembiayaan antara RM1,000 dan RM5,000.

Menurutnya, tempoh bayaran balik yang ditetapkan adalah sehingga tiga tahun dengan kadar keuntungan sebanyak empat peratus setahun.

“Golongan usahawan tidak formal inilah yang amat terkesan dengan situasi COVID-19.

“Ini berikutan kebanyakannya bergantung kepada gaji harian dan tiada simpanan wang untuk bertahan mahu pun dijadikan sebagai modal bagi beralih ke perniagaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan SPIN di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata walaupun baru dilancarkan, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan SPIN berjumlah RM6.1 juta kepada 842 usahawan sejak November lepas.

Menurutnya, antara kriteria bagi SPIN ialah warganegara Malaysia yang mempunyai bukti perniagaan selain premis mereka akan turut dikunjungi oleh wakil TEKUN Nasional sebelum mendapat kelulusan.

“Kita tidak letak banyak syarat…ini kerana kalau banyak syarat, kita takkan (dapat) bantu orang,” katanya.

Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan menunjukkan terdapat hampir 1.26 juta guna tenaga dalam sektor tidak formal dengan 71.7 peratus daripadanya bekerja sendiri atau mengusahakan perniagaan mikro.

Wan Junaidi berkata pada masa sama, SPIN juga menggalakkan usahawan untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM bagi membolehkan mereka membuat pembiayaan secara ulangan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 26,326 permohonan bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) membabitkan nilai pembiayaan RM200 juta, telah diluluskan sejak dilancarkan pada April lepas.

Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pula telah memberi manfaat kepada 14,966 usahawan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM100 juta, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )