Siswazah tidak punya kerja tetap disaran usaha tanaman padi organik

SIK,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyarankan agar golongan siswazah yang belum bekerja tetap, merebut peluang dalam sektor pertanian seperti mengusahakan padi organik bagi menjana pendapatan mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Che Abdullah Mat Nawi berkata, permintaan bagi beras organik semakin meningkat berikutan masyarakat kini mementingkan aspek kesihatan dan cara hidup sihat.

“Kita lihat (padi organik) memberikan pulangan cukup lumayan, dengan penggunaan air yang sedikit selain menggunakan benih (padi) paling minimum berbanding dengan kaedah pertanian biasa (konvensional). Ini satu peluang dalam sektor bekalan makanan itu sendiri,” katanya selepas melawat Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu Kedah Darul Aman (INSPEK) di Padi Organik Sri Lovely di Kampung Lintang, Belantik dekat sini, kelmarin.

Sri Lovely adalah singkatan kepada ‘System of Rice Intensification, Lintang Organic Valley’ yang meliputi kawasan seluas 10 hektar, diusahakan oleh Koperasi Agro Belantik Sik Berhad.

Che Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menarik minat golongan muda terhadap sektor itu.

“Baru-baru ini Kementerian Belia (dan Sukan) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian untuk berbincang bagaimana hendak menyelesaikan masalah belia, siswazah dan petani.

“Kita melihat sektor pertanian peluang cukup luas yang perlu diisi dan menteri selalu sebut untuk meremajakan sektor pertanian… tentunya kita mengharapkan golongan berpendidikan tinggi juga melihat sektor pertanian bukan sektor yang kotor, susah dan berbahaya, kena lihat ia sebagai peluang besar,” katanya.

Selain bebas bahan kimia, Che Abdullah berkata, kebaikan lain amalan pertanian padi organik ialah ia menjadikan ekosistem persekitaran sawah dan alam sekitar terjaga, di samping keselamatan dan kebajikan pesawah lebih terjamin.

“Bagaimanapun, pengeluaran padi organik di negara ini masih pada tahap yang rendah,” katanya lagi. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )