Semarak Niaga akan bantu pastikan pemulihan ekonomi negara berada di landasan kukuh

Semarak Niaga akan bantu pastikan pemulihan ekonomi negara berada di landasan kukuh

KUALA LUMPUR,. Kerajaan mahu pastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh menerusi pelaksanaan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) dengan peruntukan lebih RM40 bilion dalam Bajet 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi juga melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ini merupakan salah satu penyelesaian yang inovatif dan tidak pernah diperkenalkan sebelum ini. Kerajaan yakin usaha ini akan membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan bangkit semula,” katanya dalam satu wawancara bertulis bertajuk “Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Bajet 2022)” pada Sabtu,

Ismail Sabri berkata apabila bantuan dan sokongan diberikan kepada komuniti perniagaan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta, di samping memulihkan punca rezeki Keluarga Malaysia.

“Ini sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran yang mana kerajaan menyasarkan kadar pengangguran yang akan terus pulih di bawah paras empat peratus menjelang hujung tahun ini.

“Malahan kita akan terus membina di atas pencapaian tahun lalu,” katanya sambil menambah Jabatan Perangkaan Negara (DoSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan bahawa ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi 2021, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020.

Mengenai pecahan peruntukan Semarak Niaga, beliau berkata ia merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion, Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion, Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22.0 bilion.

“Semua tahap perniagaan, daripada yang mikro/kecil hingga ke yang besar dan tersenarai di Bursa, semuanya boleh memanfaatkan langkah-langkah dalam inisiatif Semarak Niaga dari Bajet 2022. Malah, khusus untuk PKS mikro, sebelum ini kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana sebesar RM1.8 bilion bagi pembiayaan, yang sesetengahnya siap ada ciri moratorium sehingga 12 bulan,” katanya.

Mengenai objektif Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, perdana menteri berkata matlamat pertama adalah untuk memastikan momentum pemulihan yang dikecapi pada suku keempat tahun 2021 dapat diteruskan.

Kerajaan, menerusi agensi berkaitan telah menyediakan skim pembiayaan serta pembiayaan alternatif kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagaan lain yang terkesan bagi membolehkan mereka bangkit dan menjana pendapatan semula.

Ini, katanya, termasuklah inisiatif yang akan merancakkan dan memberi nafas baharu kepada sektor paling terkesan seperti pelancongan, peruncitan, dan juga hiburan.

Matlamat kedua adalah membina ketahanan kewangan perniagaan yang termasuk membantu mereka dari segi meningkatkan kemahiran pekerja. Ini berkait rapat dengan inisiatif JaminKerja yang dilancarkan pada 19 Februari 2022.

Manakala matlamat terakhir adalah untuk memangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah ekonomi lestari dan diperkasa oleh Transformasi Digital & IR4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat).

“Bagi menguasai digital kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sokongan termasuklah seperti geran pendigitalan PKS dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital selain membantu ekonomi gig dan pemula niaga untuk bertapak dalam dunia perniagaan,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, Semarak Niaga juga dilengkapi oleh inisiatif Bajet 2022 yang lain, terutamanya dalam memudah cara urusan perniagaan dan ini termasuklah dalam menyesuaikan perniagaan dengan keperluan operasi pasca COVID-19.

“Sebagai contoh kerajaan akan melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000 untuk menyokong pematuhan SOP seperti menambah baik sistem pengudaraan dan memberi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewa tempat penginapan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, Bajet 2022 juga akan terus memperkasakan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan yang kekal berdaya saing termasuk usaha menggalakkan lebih banyak pelaburan strategik.

“Sebagai contoh, terdapat dana pelaburan strategik khas untuk menarik pelaburan asing dalam kalangan syarikat multinasional bernilai RM2 bilion dan pemberian geran pemadanan Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM100 juta.

“Kita juga ada program kemahiran/latihan untuk melatih seramai 20,000 pekerja bagi menyokong kelompok industri bernilai RM80 juta,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )