Sektor penternakan telur ayam terjejas akibat COVID-19 – Persatuan

Sektor penternakan telur ayam terjejas akibat COVID-19 – Persatuan

Oleh Rashidah Ibrahim

MELAKA,. Penularan pandemik COVID-19 di negara ini memberi kesan pada sektor penternakan telur ayam yang didakwa telah menyebabkan penternak mengalami kerugian jutaan ringgit.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia Lee Yoon Yeau berkata wabak berkenaan menyebabkan permintaan terhadap telur ayam berkurang manakala harga dedak iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara meningkat kira-kira 30 peratus.

Beliau berkata 75 peratus daripada dedak tersebut terdiri daripada jagung dan soya yang diimport dari Brazil, Amerika Syarikat dan Argentina.

“Situasi ini berlaku kepada semua penternak ayam telur di negara ini dan penternak terpaksa menjual di bawah harga kos kerana kami tidak mempunyai pilihan.

“Penternak juga rugi kira-kira 10 sen bagi sebiji telur ayam untuk semua gred telur khususnya gred B,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lee yang juga Pengerusi Persatuan-Persatuan Penternak Melaka berkata dasar kerajaan Singapura yang mengurangkan jumlah import telur ayam dari Malaysia sebanyak 25 peratus turut memberi kesan terhadap industri itu.

Menurut beliau, sebelum ini, sebanyak empat juta biji telur ayam dari Malaysia dieksport ke Singapura sekali gus menyebabkan berlakunya lebihan dalam pasaran tempatan ketika ini.

“Di Melaka, pengeluaran telur ayam adalah sebanyak lapan juta biji sehari membabitkan lima penternak utama dan ia adalah untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 800,000 hingga satu juta biji telur sehari adalah untuk pasaran Melaka,” katanya yang juga Pengurus Pemasaran Lian Foo Poultry Farm di Masjid Tanah.

Sementara itu, beliau berkata salah satu langkah yang boleh dilakukan penternak bagi mengurangkan beban kerugian adalah dengan menghentikan pengeluaran telur ayam dalam tempoh dua hingga tiga bulan agar dapat mengimbangi harga.

Selain itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi khususnya makanan ternakan ayam telur selain meminta rakyat makan lebih banyak telur ayam bagi meningkatkan permintaan sekali gus memberi kesan kepada harga telur.

Sebelum ini, seorang pengurus ladang penternakan menulis surat kepada sebuah portal berita mengenai kenaikan harga bahan makanan ternakan sebanyak tiga kali sejak Februari lepas, yang turut memberi kesan terhadap harga makanan.

Isu kenaikan harga bahan makanan ternakan itu juga dikatakan tular di semua kumpulan WhatsApp dan Facebook penternak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )