Sarawak peruntuk RM50 juta bantu PPNS, PPK eksport produk pertanian

Sarawak peruntuk RM50 juta bantu PPNS, PPK eksport produk pertanian

KUCHING,. Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri ini akan menerima peruntukan berjumlah RM50 juta dari kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun (2021 hingga 2025) bagi mengeksport produk pertanian negeri ini ke luar negara.

Pengerusi PPNS Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata peruntukan ini diluluskan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan hormat perwakilan PPNS ke atas Ketua Menteri, baru-baru ini.

“Dengan kelulusan ini, PPNS dan PPK negeri akan menerima peruntukan RM10 juta setahun untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 PPNS di sini, hari ini.

Menurutnya peruntukan ini dapat membantu kedua-dua pertubuhan ini memasarkan produk pertanian Sarawak ke luar negara melalui Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (Statos) dan pejabat yang akan ditubuhkan di Brunei serta di Pontianak, Indonesia.

“Fokusnya adalah pemasaran, sebab inilah (masalah) paling susah yang dihadapi peladang-peladang kita. Walaupun kita menghasilkan banyak produk (pertanian) tetapi kalau kita hanya bergantung kepada pasaran tempatan, kita tidak akan dapat meningkatkan pendapatan,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata PPNS akan akan mengadakan bengkel bagi mencari kaedah membantu ahlinya memasarkan produk pertanian ke luar negara dengan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Peruntukan RM50 juta ini juga termasuk untuk menghasilkan rangkaian produk yang berkualiti, pembungkusan dan sebagainya yang mengikuti piawaian serta sapat menembusi pasaran luar negara,” katanya sambil berharap PPNS dapat berdikari dan menjadi pengeksport produk pertanian yang mempunyai pendapatan mencukupi untuk diagihkan kepada ahlinya.

Selain itu, beliau berkata PPNS juga bercadang untuk menjadi “anchor company” bagi Pusat Pengumpulan, Pemerosesan dan Pembungkusan (CCPC) produk pertanian yang mula dibina kerajaan Sarawak di seluruh negeri ini.

“Salah sebuah CCPC ini telah dibina di Tarat yang operasinya dikendalikan oleh sebuah syarikat berasaskan durian dan CCPC seperti ini juga sedang dibina di Betong dan Limbang, selain dirancang ditubuhkan di Lawas dan Sebuyau,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )