Sama-Sama Digital bantu PKS Bumiputera bangkit

PULAU PINANG,. Exabytes dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menerusi unit tanggungjawab sosial korporatnya, ILTIZAM memperkenalkan inisiatif Sama-Sama Digital bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera bangkit semula dan terus berkembang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif yang disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Bank Simpanan Nasional (BSN) ini menawarkan dua e-penyelesaian perniagaan iaitu penyelesaian e-dagang semua dalam satu dan penyelesaian digital semua dalam satu.

Exabytes dan Ekuinas memperuntukkan subsidi bagi penyelesaian berkenaan dalam usaha menyediakan sokongan pendigitalan kepada PKS Bumiputera.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak, berkata usaha perlu dimaksimumkan untuk membantu perniagaan menaik taraf strategi dan sistem, memandangkan pada masa ini hanya 20 peratus PKS Bumiputera terbabit dalam ekonomi digital.

“Dalam tempoh mencabar ini, banyak perniagaan menghadapi cabaran getir dalam mengharungi kemerosotan ekonomi. Perniagaan mikro dan kecil terjejas teruk akibat wabak COVID-19.

“Sebahagian daripada perniagaan ini terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat beroperasi dari jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan.

Sama-Sama Digital turut menjalinkan kerjasama dengan sembilan rakan kongsi capaian iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Precession Capital Bhd, SME Corp Malaysia, Mara Excellent Ventures Sdn Bhd, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Persatuan Tunas Usahawan Belia Selangor dan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Organisasi dan pertubuhan ini membantu PKS Bumiputera untuk menjadi sebahagian daripada proses digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata terdapat syarikat yang berhadapan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu sewaktu pengguna menukar cara berbelanja dan menggunakan barangan serta perkhidmatan.

“Oleh yang demikian, kami melancarkan Dana Ihsan COVID-19 ILTIZAM untuk membantu komuniti yang terjejas.

“Satu daripada bentuk bantuan yang dikenal pasti adalah sokongan dalam digitalisasi PKS Bumiputera bagi memastikan mereka dapat kekal dan bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

“Kami berharap inisiatif ini menjadi satu batu loncatan buat lebih banyak PKS Bumiputera untuk turut serta dalam ruang digital,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )