RUU kualiti benih tanaman akan dibentang di Parlimen

RUU kualiti benih tanaman akan dibentang di Parlimen

RAWANG,. Bagi mengawal kualiti industri benih tanaman yang dipasarkan dalam negara dengan mengikut standard yang ditetapkan, satu Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang sekali gus melindungi hak petani dalam mendapatkan benih tanaman berkualiti di pasaran.

RUU ini juga akan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam penggunaan benih berkualiti dan tulen.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan akta kelak ini akan meliputi antara lain kawalan kepada semua benih terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, pengimportan dan pengeksportan.

“Ini bagi memastikan kualiti benih memenuhi standard yang ditetapkan seperti ketulenan varieti, kadar percambahan, kecergasan dan kesihatan benih.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di tapak pembenihan sayur-sayuran, buah-buahan dan padi syarikat Green World Genetics (GWG) Sdn Bhd di Mukim Batu Arang, semalam.

Menurutnya masih banyak ruang dalam industri benih yang perlu diperluaskan di negara ini.

“Pengeluaran benih dalam negara hanya 10 peratus di negara ini pada tahun ini, maknanya kita masih ada ruang besar untuk membangunkan industri benih di negara kita,” katanya sambil menambah industri benih adalah komponen penting dalam sekuriti makanan negara dan harus bergerak seiring dengan sub-sektor agromakanan yang lain.

Dalam pada itu, Ronald berkata, pembabitan syarikat GWG dalam industri benih secara besar-besaran menunjukkan peranan daripada pihak swasta penting untuk menjayakan pertumbuhan industri ini.

Justeru, katanya, MAFI menggalakkan penglibatan syarikat swasta lain dalam industri benih sebagai satu pelaburan yang boleh diceburi dan mampu memberi pulangan yang besar.

Beliau berkata, MAFI dan pemain industri harus terus bekerjasama untuk membangunkan industri benih di negara ini.

“Kita banyak membeli benih (pertanian) dari luar negara tetapi ada benih sesuai di negara luar dari segi keadaan cuaca tetapi tidak sesuai ditanam di negara kita.”

“Kita memerlukan benih (pertanian) di negara kita yang sesuai dengan keadaan tanah dan cuaca di negara kita,” katanya.

Benih menjadi asas kepada pengeluaran hasil pertanian. Benih yang berkualiti dan sesuai akan menjamin peningkatan produktiviti sesuatu tanaman.

Beliau juga berkata, MAFI melihat industri benih ini sebagai satu industri yang membuka peluang kerjaya kepada golongan muda.

Menurutnya MAFI akan memberi tumpuan melalui dasar dan penglibatan pihak swasta dalam industri ini agar anak-anak muda terus menceburi pelbagai sub-sektor agromakanan. Pembangunan industri benih akan mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang rantaian pengeluaran benih bermula dari penyelidikan, penanaman sehingga ke peringkat pemasaran.

Sementara itu, lawatan kerja pada semalam diadakan bagi membolehkan Ronald meninjau pembabitan syarikat tempatan yang menjalankan pengeluaran benih sayur-sayuran di negara ini.

Untuk rekod, keluasan sayuran dan tanaman kontan bagi tahun 2019 adalah 78,552 hektar dengan pengeluaran 1.8 juta metrik tan di Malaysia dimana sebanyak 90 peratus benih yang digunakan adalah benih yang diimport daripada negara luar.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )