RM9.42 juta disalurkan, pulihkan ekonomi usahawan Sarawak

RM9.42 juta disalurkan, pulihkan ekonomi usahawan Sarawak

KUCHING,. Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.42 juta tahun ini bagi membantu usahawan Sarawak yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata ini peruntukan ini disalurkan dalam bentuk Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P), Skim Pembiayaan Mudah Jaya Dananita, Moratorium Pembiayaan Perniagaan MARA dan Pengecualian Sewa Premis.

Melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro katanya seramai 121 usahawan mikro yang terjejas telah dibantu dalam bentuk modal pusingan, pembelian peralatan, promosi dan pasaran dan belanja mengurus dengan peruntukan berjumlah RM4.45 juta

“Skim ini merupakan kemudahan patuh syariah bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam semua industri kecuali pertanian dan perternakan.

“Tujuannya dalah untuk membantu kumpulan PKS yang terjejas akibat wabak pandemik untuk kelangsungan dan mempertingkatkan daya tahan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Program MARA Bantu Usahawan: Inisiatif Tambahan PEMULIH di Arked Astana di sini hari ini.

Tambah Hasbi bagi Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya Dananita, sebanyak RM1.21 juta telah disalurkan kepada 28 usahawan wanita dalam perusahaan mikro hingga kecil.

Manakala di bawah Moratorium Pembiayaan Perniagaan MARA, seramai 1,010 usahawan layak menerima kemudahan dan diberi penangguhan pembayaran selama enam bulan dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.228 juta.

Satu lagi bentuk bantuan yang disalurkan MARA kepada usahawan terkesan akibat COVID-19 adalah pengecualian sewa premis kepada semua penyewa premis MARA melibatkan kos keseluruhan RM1.532 juta.

“Menerusi bantuan-bantuan ini kita berharap ia dapat membantu memulihkan semua perniagaan mereka yang terjejas dan jualan kembali meningkat apabila ekonomi dibuka sepenuhnya kelak,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu Hasbi menyerahkan Surat Tawaran Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro, Surat Tawaran Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya Dananita, Surat Kelulusan Moratorium Pembiayaan Perniagaan MARA dan Surat Pengecualian Sewa Premis kepada beberapa usahawan dari Kuching.

Beliau turut meninjau perniagaan penyewa di premis perniagaan MARA Arked Astana serta mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada komuniti usahawan mengenai bentuk bantuan lain yang diperlukan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah MARA Sarawak Dr Azmi Amat Murjan dan Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )