RM1.36 bilion diluluskan di bawah skim pembiayaan PKS PENJANA – Tengku Zafrul Aziz

RM1.36 bilion diluluskan di bawah skim pembiayaan PKS PENJANA – Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 7,205 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM1.36 bilion di bawah skim pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 12 Mac.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program ini dengan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat daripada Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA sehingga 26 Februari, iaitu tarikh tutup PSU 1.0.

“Setakat 12 Mac, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.84 bilion,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-46 menerusi laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Katanya di bawah PSU 2.0, sejumlah RM1.094 bilion telah disalurkan kepada 72,531 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 619,821 pekerja setakat 12 Mac.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata sejumlah RM11.75 bilion telah diluluskan oleh bank-bank tempatan di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya jumlah itu termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Pendigitalan (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF), yang akan memberi manfaat kepada 24,819 PKS.

Beliau berkata sebanyak RM193.1 juta telah disalurkan kepada 670 PKS setakat 12 Mac di bawah Bumiputera Relief Financing (BRF).

Katanya BRF berjumlah RM200 juta oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) adalah untuk membantu PKS Bumiputera yang terkesan oleh COVID-19, dengan pembiayaan antara RM100,000 dan RM1 juta.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )