Rezeki PKP, pengusaha hasilkan 40 tan ketupat palas sejuk beku

ALOR SETAR,. Seorang pengusaha ketupat palas sejuk beku tidak menyangka rezekinya bertambah berlipat kali ganda semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga perlu menghasilkan 40,000 kilogram (kg) atau 40 tan ketupat untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Che Non Ahmad, 50, berkata pada bulan biasa atau pun sebelum PKP, hanya perlu menyediakan satu tan tetapi kini permintaan makanan tradisional itu meningkat tinggi.

Katanya, lazimnya kehadiran Ramadan turut menyumbang kepada permintaan ketupat namun apa yang lebih menggembirakan, permintaan pada tahun ini adalah dua kali ganda jika dibandingkan Ramadan tahun lalu yang hanya 20 tan.

“Semasa awal PKP pada 18 Mac lalu, terdetik di hati saya permintaan ketupat akan berkurangan, tetapi apa yang berlaku sebaliknya, ramai pula yang membuat tempahan dan ia seolah-olah dijadikan makanan harian kerana orang ramai terpaksa duduk di rumah.

“Sebelum puasa lagi saya sudah menerima tempahan yang tidak putus-putus selain pembelian pukal dari pelanggan seperti yang tinggal di Kuala Lumpur dan Johor Baharu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Belukar, Hutan Kampung, di sini.

Che Non, berkata kira-kira 20 tan ketupat palas sudah dihasilkan sejak awal tahun lalu dan disimpankan di dalam kontena sejuk beku bagi persediaan memenuhi permintaan sambutan puasa dan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya, kini dia perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 200 kg ketupat sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum ini saya banyak menggunakan khidmat bas untuk menghantar ketupat namun disebabkan PKP, cara penghantaran sebelum ini perlu diubah.

“Tetapi kini, saya mengupah dua penghantar makanan bagi menghantar bekalan ke seluruh Kedah serta Kuala Lumpur.

“Dulu pada tahun 1993 saya hanya menjual ketupat di pasar malam namun sejak 2014, saya cuba jual ketupat sejuk beku. Alhamdulillah, kini saya dapat berkongsi rezeki dengan mengupah penduduk kampung bekerja dengan saya,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Che Non mengeluarkan empat jenis ketupat yang berbeza untuk dijual iaitu ketupat palas biasa, ketupat palas jagung, ketupat palas kacang dan ketupat pulut hitam dengan harga RM24 sekilogram.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Zaki Syafiq Zulkifli, 26, berkata produk ketupat palas sejuk beku Che Non menjadi tumpuan ramai kerana rasanya yang sedap dan lemak selain boleh didapati pada bila-bila masa.

“Ibu bapa saya memang menggemari ketupat palas Che Non sejak dulu lagi, sekarang anak pula yang suka.

Jika mereka teringin nak makan, saya terus datang ke sini untuk beli,” katanya

— BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )