RAIH JUALAN RM10,000 SEHARI, STRATEGI DIATUR HSA CHEAPER MART BERJAYA TINGKAT JUALAN

KUALA LUMPUR,. Pasar raya, HSA Cheaper Mart yang dimiliki oleh HSA Trading Capital Bhd tidak menyangka strategi pemasaran yang diatur sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) telah mengubah landskap perniagaannya, sekali gus memberi rezeki berlipat kali ganda.

Pemiliknya, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal berkata, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, beliau telah mengambil inisiatif memperluaskan perniagaannya dengan menawarkan kemudahan tempahan barangan dalam talian dan menyediakan perkhidmatan penghantaran barang hingga ke pintu rumah pelanggan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan telah mendapat sambutan yang luar biasa dan mencatatkan jualan sehingga RM10,000 sehari berbanding hari biasa sekitar RM300 sahaja.

Malah, katanya, sejak diperkenalkan pihaknya menerima 50 hingga 100 tempahan perkhidmatan penghantaran melalui aplikasi whatsApp.

“Kami harap kemudahan seperti ini dapat membantu pembeli terutamanya sekitar Ampang, Selangor untuk mendapatkan barangan makanan khususnya ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan secara segar terus ke rumah tanpa perlu pergi ke pasar,” katanya.

Muhamad berkata, pasar raya itu beroperasi bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam pada setiap hari dan tempahan pembelian dalam talian disediakan bermula jam 2 petang hingga 10 malam.

“Setiap tempahan akan dihantar pada keesokkan harinya bemula jam 10 pagi dengan mengenakan caj penghantaran mengikut harga yang ditetapkan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran seperti Lalamove, Grab dan Bungkus It,” katanya.

HSA Cheaper Mart menyediakan keperluan barang basah dan segar pada harga yang berpatutan

Barangan tersebut diperoleh dari pasar borong berdekatan.

Muhamad Riduwan berkata, kesemua urusan tempahan, bungkusan dan penghantaran dibuat oleh kakitangan pasar raya itu sendiri.

“Buat masa ini, kami menggunakan tiga penghantar barang menggunakan kereta menampung permintaan pelanggan meliputi sejauh 30 kilometer sehingga ke Setia Alam dengan minimum pembelian RM50,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan boleh membuat pembayaran ketika penghantaran sampai di rumah mereka atau secara perbankan dalam talian.

“Kemudahan yang ditawarkan oleh pasar raya kami seiring dengan trend masyarakat masa kini yang menggunakan teknologi dan mendapatkan maklumat di hujung jari,” katanya.

HSA Cheaper Mart yang beroperasi sejak Januari 2020 merupakan milik HSA Trading Capital Bhd yang juga pengeluar dan pemborong produk muslim serta pengeluar produk makanan berjenama Sherwani.

Muhamad berkata, HSA Cheaper Mart kini menggalakan pelanggan mendaftar sebagai ahlinya dengan yuran RM50.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )