Program jualan masyarakat beri peluang B40 beli keperluan berharga rendah

Program jualan masyarakat beri peluang B40 beli keperluan berharga rendah

SEREMBAN,. Program Jualan Masyarakat yang dianjurkan syarikat pengusaha hasil laut dan akuakultur Public Wellbeing Solutions Sdn Bhd (PWS) memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan bekalan makanan segar dengan harga yang rendah.

Penasihat Perancangan dan Strategi Korporat PWS Datuk Mohamed Zafril Zabidin berkata, program yang bermula pada September tahun lepas di kawasan petempatan B40 itu menawarkan ikan, udang, sotong, daging lembu tempatan dan sayur-sayuran pada harga 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Matlamat kami ialah untuk membina pasaran serta mengelak daripada bergantung kepada orang tengah sekali gus membantu mengurangkan harga kepada pengguna.

“Konsep yang kami ketengahkan ialah bergabung dengan semua pengeluar bahan mentah dan memasarkannya terus kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran program itu, di sini semalam.

Menurut Mohamed Zafril, program sama turut dilaksanakan di 20 lokasi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan PWS merancang untuk memperluas program itu ke Perak pada masa akan datang.

“Ini kali pertama program jualan ini diadakan di Seremban dan kita bercadang untuk mengadakannya tiga kali seminggu tetapi bukan di tapak yang sama dan kita akan memilih lokasi lain pula di sekitar Seremban bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui menyifatkan program tersebut wajar dicontohi pihak lain bagi membantu golongan B40 yang terkesan oleh penularan pandemik COVID-19.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )