Platform digital bantu usahawan FAMA pasarkan produk

Platform digital bantu usahawan FAMA pasarkan produk

KUALA LUMPUR,. Selaras dengan perkembangan teknologi dan peningkatan trend pembelian secara dalam talian, Agrobazaar Online yang dibangunkan serta diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM8 juta sejak mula beroperasi pada tahun 2015.

Agrobazaar Online merupakan platform untuk usahawan-usahawan memasarkan produk serta perkhidmatan berasaskan pertanian secara maya kepada pelanggan dan pengguna.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata antara faktor yang mendorong kepada angka jualan itu adalah trend pembelian pengguna ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berubah kepada pembelian secara dalam talian.

“Semasa PKP pertama dikuatkuasakan, pengguna dilihat sukar untuk mendapatkan barangan segar dan keperluan dapur terutamanya hampir kesemua outlet peruncitan fizikal seperti pasar awam dan pasar tani ditutup atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kedai runcit dan pasar raya pula dihujani pengguna yang perlu beratur dan dihadkan kemasukan ke dalam premis bagi menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, FAMA dengan kerjasama MKN mengambil inisiatif membuat hebahan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan segar melalui Agrobazaar Online.

“Agrobazaar Online berjaya mencatatkan nilai jualan RM2.17 juta mulai 18 Mac hingga 8 Nov lepas.

“Ia melibatkan pecahan nilai jualan produk segar dan industri asas tani (IAT) masing-masing sebanyak RM1.18 juta dan RM0.99 juta melibatkan 41,654 servis penghantaran sepanjang tempoh itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata portal Agrobazaar Online hampir sesak dan aliran trafik untuk memasuki portal itu juga tinggi hasil impak sebaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dijalankan MKN.

Atas dasar itu, katanya, FAMA bekerjasama dengan platform e-dagang lain seperti Lazada, Shopee, Foodpanda, dan lain-lain yang bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan barangan segar.

“FAMA turut bekerjasama dengan syarikat logistik seperti Pos Malaysia, Lalamove dan GoGet bagi memudahkan urusan pengambilan dan penghantaran bagi penjual dan pembeli.

“FAMA juga sedang merangka kolaborasi dalam melatih usahawan membangunkan sendiri laman web e-dagang melalui platform Shoppergram.Com dan eFAMAplace,” katanya.

Pada masa sama, Zainal Abidin berkata FAMA telah mengadakan 49 sesi libat urus bersama usahawan di seluruh negara, sehingga Oktober lepas.

“Outlet-outlet usahawan bimbingan FAMA ini juga dijadikan sebagai tempat pengumpulan dan pemasaran dalam talian bagi pengguna mendapatkan produk-produk agromakanan secara dalam talian.

“Selain itu, terdapat juga pembangunan Agrohub di lima lokasi baharu bagi Fasa 1 iaitu Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah yang menggunakan konsep Agrohub di MyKopie Satu, Selayang,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, FAMA berjaya mencatatkan nilai jualan RM721.58 juta menerusi outlet pemasaran seperti Agrobazaar Online, Pusat Operasi FAMA/FAMA Co., Pasar Segar Terkawal/Pasar Tani Kekal (lokasi terpilih), MyFarm Outlet, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )