Platform alam maya peluang usahawan muda majukan perniagaan atas talian

KOTA KINABALU,. Usahawan muda khususnya yang terlibat dengan perusahaan agro di negeri ini disaran mempergunakan capaian internet dengan sebaiknya dalam membantu memajukan perniagaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ramai dalam kalangan golongan muda lebih faham dan mudah menggunakan platform alam maya.

Sehubungan itu katanya, usahawan yang terlibat dengan pemasaran secara atas talian (online) perlu benar-benar faham manfaat yang boleh diperoleh menerusi penggunaan internet.

“Apabila COVID-19 mula merebak, medium penjualan secara atas talian dilihat semakin meningkat dan meluas.

“Usahawan yang berjaya mengambil kesempatan mempergunakan medium ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah pemasaran.

“Malah, mereka juga dapat meningkatkan hasil jualan menerusi platform atas talian dengan lebih meluas tanpa penglibatan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pemasaran ‘Online’ Agropreneur Muda di sini semalam.

Dalam pada itu, pihaknya menganjurkan kursus berkenaan kepada 50 peserta yang membabitkan usahawan muda tempatan bagi mendalami ilmu pemasaran secara atas talian.

Menurutnya, MAFI menerusi FAMA mempunya platform sedia ada di bawah Agro Bazar Online bagi membantu golongan usahawan terlibat aktif dengan perniagaan atas talian.

“Hasilnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita dapat lihat sambutan luar biasa penyertaan peniaga dalam aktiviti penjualan atas talian.

“Sepanjang tempoh itu, lebih RM200,000 hasil jualan produk pertanian dapat dipasarkan.

“Justeru, kita mahu momentum seperti ini dapat dikekalkan untuk membantu lebih ramai usahawan khususnya di negeri ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kursus berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada agropreneur muda berhubung kepentingan dan kelebihan pemasaran secara atas talian.

Beliau berharap, dengan ilmu yang diperolehi melalui kursus ini, para peserta akan dapat memahami strategi pemasaran secara keseluruhan melalui penggunaan internet.

Selain itu katanya, ilmu berkenaan dapat digunakan dalam memasarkan perkhidmatan atau produk yang dikeluarkan oleh para peserta bagi meningkatkan jualan perniagaan yang sedang atau akan dijalankan.

Pihaknya juga mahu anak-anak muda masa kini sentiasa menggunakan kemudahan internet sebagai salah satu medium untuk memasarkan produk-produk yang dihasilkan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )