PKS tempatan berupaya pulih dengan pantas

KUALA LUMPUR,. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mempunyai keupayaan untuk pulih dengan pantas daripada impak negatif penularan COVID-19 disokong bantuan yang disediakan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata buat masa ini, belum ada kepastian mengenai impak sebenar penularan COVID-19 kepada PKS terutama membabitkan perniagaan yang ‘gulung tikar’.

Namun, katanya, tidak dinafikan PKS yang terbabit dalam sektor pelancongan, pembuatan dan pertanian terkesan daripada pelaksanaan sekatan dan kawalan pergerakan bagi membendung COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sejumlah 4,542 syarikat ditutup dalam tempoh April hingga Julai 2020.

Namun, jelasnya, kira-kira 83,000 perniagaan baharu didaftarkan dalam tempoh berkenaan, sekali gus menunjukkan syarikat terutama PKS di negara ini pantas mengubah model perniagaan untuk menghadapi cabaran semasa.

“Kesan terhadap beberapa sektor nampak negatif, namun ada sektor yang tidak mencatatkan penurunan prestasi.

“Dengan tindakan yang dilaksanakan kementerian, kita percaya PKS mampu bangkit semula,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi PKS pada 2019 di Kuala Lumpur, semalam.

Wan Junaidi berkata, peruntukan sebanyak RM14.5 bilion di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan memberi kesan secara langsung kepada PKS.

Beliau berkata, kesan ekonomi berikutan COVID-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semestinya akan memberi impak kepada prestasi PKS tahun ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik SME Corp Malaysia, kira-kira 73 peratus PKS dijangka mengalami kerugian pada 2020.

“Cabaran sekarang terletak kepada kepantasan dan ketangkasan PKS di Malaysia mengguna pakai strategi yang berbeza untuk kekal bertahan dalam kebiasaan baharu dengan menggunakan pendigitalan dalam operasi mereka, membangunkan pelan kelangsungan perniagaan serta bekerjasama rapat dengan institusi kewangan untuk menguruskan kedudukan aliran tunai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata berdasarkan kaji selidik terhadap 982 responden baru-baru ini, mendapati 17 peratus daripada responden yakin bahawa perniagaan mereka mampu pulih dalam tempoh tiga bulan dengan bantuan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, majoriti responden yakin perniagaan pulih dalam tempoh tiga bulan itu adalah yang terbabit dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Katanya, 69 peratus responden pula berpendapat perniagaan mereka mampu pulih dalam tempoh tiga bulan hingga 12 bulan.

“PKS yang terjejas teruk ialah dalam sektor pelancongan dan sektor yang berkaitan dengannya,” katanya.

Pada 2019, sumbangan PKS kepada ekonomi Malaysia terus berkembang dengan menyumbang 38.9 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus sebelumnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )