PKS perlu bijak cari peluang berniaga

KUALA LUMPUR,. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu bijak mencari peluang sumber pendapatan baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kelangsungan perniagaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata PKS juga perlu berbelanja secara berhemah selain membuat pembiayaan kewangan tambahan supaya mereka mempunyai kecairan dan wang simpanan mencukupi untuk menampung keseluruhan kos operasi.

“Dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan, antara yang diperkenalkan kerajaan adalah penyediaan pinjaman geran khas sebanyak RM3,000 kepada syarikat mikro. Jadi ambillah peluang ini jika masih sukar untuk mencari pendapatan pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN: Impak Kepada Golongan Sasar’ di sini, malam tadi.

Menurut Ahmed Razman, sekiranya COVID-19 dan PKP masih berlanjutan, kerajaan perlu menambah peruntukan pakej rangsangan ekonomi untuk memberi rangsangan yang lebih efektif kepada PKS.

“Saya berharap sepanjang PKP ini, kerajaan akan sentiasa memantau apa yang terjadi di lapangan seperti tiada pekerja kehilangan pekerjaan atau perniagaan yang gulung tikar. Sekiranya ia terjadi, maka pakej rangsangan yang berterusan harus dilaksanakan.

“Bantuan atau pakej rangsangan tersebut tidak semestinya diberikan semasa PKP, malah selepas PKP berakhir dan saluran pemberian itu mestilah dilakukan dengan cekap supaya bantuan itu sampai kepada mereka yang layak menerima,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan perlu memikirkan cara untuk mereformasikan sistem monetari supaya beban hutang kerajaan, individu dan PKS dapat dikurangkan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )