PKS Malaysia digalakkan sertai penilaian kesediaan bagi industri 4.0 – MPC

PKS Malaysia digalakkan sertai penilaian kesediaan bagi industri 4.0 – MPC

KUALA LUMPUR,. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia digalakkan mendaftar dengan Dasar Negara bagi Penilaian Kesediaan (RA) Industry4RWD untuk menilai keupayaan dan kesediaan mereka dalam teknologi dan proses Industri 4.0.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata kerajaan telah memperuntukkan RM210 juta bagi tempoh 2019 hingga 2021 untuk menyokong peralihan dan perpindahan kepada Industri 4.0.

“Peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2021 juga memperluas aspek teknologi dan digitalisasi dengan usaha ini menepati inisiatif di bawah Program Kesediaan Teknologi Industry4WRD untuk menggalakkan industri yang boleh mengoptimumkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama dengan agensi lain yang terlibat seperti MPC dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berusaha untuk merealisasikan agenda transformasi berasaskan teknologi.

Penilaian itu adalah program menyeluruh yang bertujuan membantu PKS menilai keupayaan dan kesediaan masing-masing untuk menerima guna teknologi dan proses Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Penilaian tersebut menggunakan beberapa indikator yang telah ditentukan untuk memahami keupayaan dan jurang PKS pada masa ini, daripada aspek yang akan membolehkan syarikat menyediakan strategi dan rancangan berdaya maju untuk bergerak ke arah Industri 4.0.

Abdul Latif berkata pelaksanaan RA Industry4WRD adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi antara destinasi utama bagi sektor industri berteknologi tinggi menjelang 2025.

“Kami menggalakkan lebih banyak syarikat dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan berkaitan pembuatan agar terlibat dalam RA Industry4WRD ini.

“Kami akan menghantar penilai yang berkelayakan untuk melakukan penilaian di lokasi dan menghasilkan laporan mengenai status syarikat berkenaan dari sudut Industri 4.0, setelah itu penilai akan membuat syor bagi penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata PKS yang layak tidak dikenakan bayaran memandangkan ia disubsidikan sepenuhnya oleh kerajaan.

MPC, melalui sembilan Nexus Produktiviti di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB), akan terus melakukan penilaian terhadap kesediaan bagi membantu sehingga 500 PKS untuk berubah kepada teknologi Industri 4.0.

Industri digalakkan untuk menyertai RA Industry4WRD itu menerusi https://www.miti.gov.my/index.php/forms/form/90

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )