PKS digesa mohon sijil Logo Kebangsaan Jenama Malaysia – MITI

PKS digesa mohon sijil Logo Kebangsaan Jenama Malaysia – MITI

PETALING JAYA,. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memohon pensijilan Logo Kebangsaan Jenama Malaysia oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk mempromosikan produk tempatan dalam pasaran antarabangsa.

Timbalan Menteri, Datuk Lim Ban Hong berkata pensijilan itu penting dalam usaha untuk melonjakkan reputasi negara di peringkat dunia.

“Mengikut skim Logo Kebangsaan Jenama Malaysia, syarikat yang menyertainya dan berjaya melepasi proses penilaian yang ketat akan diberikan hak untuk menggunakan jenama tersebut pada produk dan perkhidmatan eksport mereka,” katanya pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Persatuan PKS Malaysia di sini, Khamis malam.

Beliau berkata setakat Disember 2021, sebanyak 173 perusahaan domestik telah diperakui dengan pensijilan Logo Kebangsaan Jenama Malaysia.

Bagi memperkukuh lagi kualiti dan reputasi kecemerlangan produk Malaysia, perusahaan yang diperakui tersebut perlu menjalani prosedur pengauditan dan pemantauan berkala, katanya.

Sementara itu, Persatuan PKS Malaysia mahu kerajaan membantu dalam menyokong PKS tempatan mengautomasikan lagi kemudahan mereka selain kekal kompetitif untuk merangsangkan pembangunan ekonomi yang sihat.

Presiden Kebangsaan, Ding Hong Sing berkata perniagaan di Malaysia tidak seharusnya mengabaikan kepentingan automasi ke atas kemudahan pada era rangkaian moden dan kecerdasan buatan.

“Melalui langkah penggunaan teknologi di tempat kerja, PKS boleh merealisasikan kecekapan kerja yang lebih tinggi dengan kurangnya tenaga kerja, peralatan, masa dan ruang, di samping memakmurkan ekonomi,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memudahkan proses pengambilan pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing untuk memastikan tenaga kerja tempatan meraih manfaat daripada persekitaran kerja yang dijangka lebih baik dalam jangka masa panjang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )