PKPB pulih ekonomi tanpa abaikan kesihatan rakyat

KUALA LUMPUR: Bermula esok (Isnin, 4 April), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan, dengan keseluruhan sektor perniagaan dan ekonomi dibenarkan beroperasi secara berperingkat, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak berkuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKPB dalam perutusan khasnya pada Jumaat berkata, langkah itu susulan kejayaan negara memenuhi dan menepati syarat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dalam membendung penularan COVID-19.

Ini membolehkan pergerakan orang ramai lebih banyak kerana pekerja mula kembali ke pejabat, restoran dan premis perniagaan dibuka semula, serta aktiviti harian seperti berjoging dan membeli-belah kini boleh dilakukan.

Di media sosial, langkah itu menjadi perdebatan warganet, dengan ada daripada mereka menyifatkan kerajaan terburu-buru dalam membuat keputusannya, selain ada dakwaan kerajaan tunduk kepada tekanan sektor perniagaan.

Apatah lagi melihat kesedaran segelintir masyarakat yang mengambil ringan dan pentingkan sendiri, dalam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, sehingga ada yang keluar rumah tanpa alasan munasabah, sedangkan usaha untuk memerangi COVID-19 masih berterusan.

Namun, semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, objektif PKP untuk meratakan lengkung dalam pelaksanaan fasa satu, dua dan tiga telah berjaya, kini memerlukan strategi baharu iaitu disiplin dan tanggungjawab sosial, untuk memastikan COVID-19 dapat dikawal untuk tempoh yang lebih lama.

Malah pada sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, adalah mustahil untuk kerajaan melaksanakan PKP bagi tempoh yang lama, kerana bahaya wabak itu tidak akan berakhir dalam tempoh yang singkat.

Kata Ismail Sabri lagi, usaha kerajaan melonggarkan PKP adalah bagi membantu ekonomi rakyat, terutamanya peniaga kecil yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang lebih dua bulan ia dilaksanakan, sejak 18 Mac lepas.

Ini menunjukkan tuntutan ekonomi semakin mendesak, tapi pada masa sama tindakan kerajaan tidak bermakna nyawa manusia kurang penting, kerana kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk melandaikan keluk penularan pandemik COVID-19.

Pastinya, kerajaan telah mengambil kira segala pertimbangan termasuk bersandarkan data, nasihat pakar dan garis panduan daripada WHO, sebelum membuat keputusan supaya PKPB dilakukan serentak di seluruh negara tanpa mengira zon.

Kelonggaran yang diberikan kerajaan perlulah dihargai, dengan cara memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan penuh integriti dan jangan ada yang cuba untuk mengambil mudah, kerana sebarang ketikdakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19, kembali meningkat.

Diharap selepas esok, norma baharu dalam pengendalian perniagaan dan kehidupan harian seperti jarakan sosial, kerap mencuci tangan dan amalan pencegahan jangkitan lain seperti memakai penutup hidung dan mulut, dapat terus diamalkan sekali gus, dua keluk yang dihadapi sekarang iaitu kemelesatan ekonomi dan COVID-19, dapat dilandaikan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )