PKP: KPDNHEP puas hati tahap kepatuhan orang ramai, peniaga di premis perniagaan

BUKIT MERTAJAM, 17 Mei  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan tahap kepatuhan orang ramai dan peniaga di premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata sejak kementerian menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) pada 13 Mei lepas, sebanyak 5,469 pemeriksaan telah dijalankan sehingga semalam di premis-premis perniagaan di seluruh negara.

“Daripada 5,469 premis yang diperiksa itu, sebanyak 4,361 mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Easy Pack Technology Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata 801 premis telah diberikan nasihat manakala hanya 37 sahaja diberikan amaran oleh KPDNHEP.

“Peranan kita juga seperti penguat kuasa yang lain iaitu apabila melihat ramai yang berkumpul, kita menasihatkan agar mereka menjaga jarak sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman ketika memasuki premis perniagaan dan sekiranya mereka tidak memakai penutup hidung dan mulut, kita menasihatkan untuk memakainya.

“Setakat ini Alhamdulilah kadar kepatuhan sangat memuaskan. Secara keseluruhannya rakyat kita baik dan patuh kepada arahan. Macam tadi saya pergi ke Perlis, dapat lihat ada pematuhan di mana  pihak pusat membeli-belah selang satu jam mereka membuat pengumuman untuk mengingatkan pengunjung supaya mematuhi apa yang dipinta semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Rosol berkata tahap pematuhan ketika berada di premis perniagaan dan tempat terbuka amat penting kerana semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )