PKNS lancar inisiatif bantu usahawan

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan melancarkan kempen Raya Bersama PKNS dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee Malaysia dan Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC).

Progam yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu bertujuan membantu usahawan menghadapi cabaran perniagaan ketika wabak COVID-19, membabitkan 51 usahawan di bawah program PKNS BizClub bermula daripada 15 April hingga 15 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, berkata melalui inisiatif itu, semua usahawan PKNS akan dikumpulkan dalam satu ‘landing page’ yang akan diiklankan di halaman utama laman web Shopee.

Pembeli juga, katanya, berpeluang untuk menerima ‘coins cashback’ sehingga 20 peratus apabila mereka melakukan pembelian bersama usahawan PKNS.

“Antara produk yang ditawarkan usahawan PKNS meliputi pakaian raya, kuih dan biskut raya serta keperluan kecantikan dan aksesori sempena Syawal yang akan menjelang.

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kerjasama strategik ini untuk tahun yang kedua bersama salah satu platform e-dagang terbesar di rantau ini, Shopee dan mendapat sokongan penuh daripada SITEC dalam merancakkan lagi ekonomi digital di Selangor.

“Program Raya Bersama PKNS ini diharapkan dapat menjadi medium terbaik untuk usahawan PKNS mendepani cabaran perniagaan ketika negara sedang menghadapi wabak COVID-19,” katanya.

Mohd Azizi berkata, hasil kempen tahun lalu bersama Shopee sangat memberangsangkan dengan ada usahawan telah menjana jualan sebanyak RM20,000 dalam masa sebulan.

“Kami amat teruja dan berharap lebih ramai lagi yang akan dapat mencatatkan rekod seperti ini. Inisiatif kami bersama Shopee dapat meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat negeri Selangor,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )