Petronas bantu pengusaha PKS tempatan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia

AMPANG,. Kolaboratif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan Petronas menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia @ Petronas dilihat sebagai kerjasama yang baik bagi terus membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian sangat menghargai sokongan dan kerjasama yang telah diberikan Petronas Dagangan Berhad yang telah memberikan komitmen dalam membantu menjayakan inisiatif Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia(KBBM) ini.

“Langkah dan inisiatif yang telah dilakukan ini merupakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah dijalankan Petronas bagi membantu perkembangan pengusaha-pengusaha PKS tempatan.

“Melalui kerjasama antara KPDNHEP dan Petronas bagi pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia pada tahun 2019 yang lepas, ia telah menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan.

“Sebagai perbandingan, bagi tempoh Ogos sehingga Disember 2019, jumlah nilai jualan yang dicatatkan oleh pembekal PKS tempatan semasa KBBM telah merekodkan nilai hasil jualan berjumlah 29,690,577.44 berbanding bagi tempoh yang sama pada 2018 yang mencatatkan nilai jualan berjumlah 20,550,191.33,”

“Jumlah peningkatan nilai hasil jualan semasa kempen dijalankan adalah meningkat sebanyak 44.48 peratus dengan melibatkan penyertaan sebanyak 320 SKU pengusaha PKS tempatan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan @ Petronas di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer, Ampang baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PDB) Azrul Osman Rani dan Naib Presiden (Pemasaran) Petronas Ahmad Adly Alias.

Sementara itu pada sidang medianya pula, Nanta menjelaskan bahawa kementeriannya akan terus mengambil pendekatan polisi buka pintu bagi menambah baik KBBM.

“Ini kerana kementerian ingin memastikan kempen itu terus memberi manfaat khususnya kepada PKS.

“Pada masa sama, kami akan membantu memperkasakan usahawan PKS agar produk mereka mampu menembusi pasaran hypermarket, pasar raya, kedai serbaneka dan rangkaian kedai di stesen minyak seluruh Malaysia,” katanya.

Antara promosi dan inisiatif Petronas untuk menyokong KBBM pada tahun ini ialah dengan mewujudkan lebih banyak Point Of Sales Material (POSM) sebagai bahan promosi KBBM di setiap stesen minyak dan Kedai Mesra Petronas.

Para pengunjung di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara akan menyedari promosi KBBM ini di setiap pam minyak, di kaunter bayaran dan di rak barang sama ada di dalam mahupun luar premis.

Turut ditampilkan ialah rak khas KBBM Corner, iaitu sebuah ‘dedicated shelf’ hasil kerjasama antara KPDNHEP dengan Petronas Dagangan Berhad yang akan menampilkan pembekal-pembekal makanan dan minuman tempatan serta produk-produk lain di stesen-stesen Petronas yang mempunyai bilangan pengunjung yang ramai dan aliran trafik yang tinggi.

Melalui Kempen Beli Barangan [email protected] pada 2020 pula, promosi KBBM akan dipertingkat dan disebar luas di mana ia akan dijalankan di 801 stesen minyak dan Kedai Mesra Petronas yang meliputi 698 stesen Petronas di Semenanjung Malaysia dan 103 stesen Petronas di Sabah dan Sarawak.

Konsep terbaru Kedai Mesra ini turut menonjolkan pembekal-pembekal tempatan terutama di bahagian food service area/ready to eat (RTE).

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )