Peruntukan RM1.5 juta bantu usahawan festival mega raya

Peruntukan RM1.5 juta bantu usahawan festival mega raya

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntuk RM1.5 juta kepada lebih 1,000 peniaga festival mega raya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif itu dilaksana bagi membangkitkan semula semangat usahawan selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kita juga berharap usahawan yang menerima sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka dan dapat menjual barangan mereka pada harga yang lebih murah,” katanya selepas merasmikan Festival StarVendors Mega Raya Fest di WTC semalam.

Terdahulu, Noh dalam ucapannya berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha melahirkan usahawan yang berdaya tahan dan berdaya saing.

Beliau turut berharap penganjuran festival jualan sempena perayaan dapat menghidupkan kembali sumber pendapatan usahawan dan memulihkan semula sektor ekonomi serta rantaian bekalan yang terjejas akibat COVID-19.

Festival StarVendors Mega Raya Fest, yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 pagi semalam hingga 12 tengah hari Isnin ini, menyasarkan untuk mencatat rekod penganjuran acara selama 75 jam tanpa henti.

Ia bakal menyaksikan pembabitan 55 selebriti terkenal tanah air yang turut membuka reruai dan menjual rangkaian produk mereka sendiri antaranya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk AC Mizal, Datuk Seri Vida, Datuk Aliff Syukri, Hairul Azreen, Hanis Zalikha, Fazura, Fattah Amin, Shahiezy Sam dan Syatila Melvin.

Penganjuran acara itu pada 2019 selama 72 jam telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 1.2 juta orang.

Noh juga berkata bantuan RM3,000 kepada usahawan yang dikenal pasti terjejas akibat banjir menerusi Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) sudah selesai diagihkan.

Beliau berkata pada masa sama, kementerian itu dalam proses melakukan pembayaran kepada 59 usahawan terjejas banjir yang memohon pinjaman melalui SME Corp selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )