Perniagaan berkembang pesat untuk beberapa industri semasa pandemik

Perniagaan berkembang pesat untuk beberapa industri semasa pandemik

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR,. Pandemik COVID-19 telah menyebabkan sejumlah perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditutup berikutan mereka bergelut dengan masalah aliran tunai, walaupun sebahagiannya dapat bertahan daripada cabaran ini berikutan kerajaan dan sektor kewangan telah memberikan pelbagai bantuan untuk membantu mereka menghadapi tempoh mencabar ini.

Bagaimanapun, terdapat banyak perniagaan kecil dan perusahaan mikro terutamanya dalam sektor seperti makanan dan minuman, produk kebersihan dan keselamatan serta aktiviti yang berkaitan dengan hobi berkembang dengan pesat.

Kebanyakannya merupakan mereka yang berani mengambil peluang semasa krisis global, pada masa sama, menyesuaikan dengan situasi semasa secara kreatif dengan menyediakan banyak produk dan perkhidmatan untuk membantu orang ramai menguruskan kehidupan harian mereka terutamanya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac.

Mereka beralih kepada e-dagang dengan cepat dan mengubah senario tersebut sepenuhnya untuk manfaat mereka.

Rakyat Malaysia, pada amnya, menyedari mengenai kesihatan dan keselamatan diri mereka berikutan data menunjukkan produk daripada kategori penjagaan kesihatan dan kesejahteraan menyaksikan jualan yang meningkat dalam tempoh tersebut.

Penolong Pengarah KBeautyOriginal Sdn Bhd Aini Wardiah Md Wazilah berkata semasa pelaksanaan PKP dalam gelombang pertama, syarikat mencatatkan lonjakan dari segi permintaan, mendapat keuntungan yang baik dengan pulangan pelaburan yang berganda, dari Mac hingga Mei lepas.

Dengan banyak perniagaan bukan keperluan menghadapi sekatan dan ramai yang mengambil langkah untuk duduk di rumah sebagai langkah keselamatan, rakyat Malaysia mengambil peluang untuk membuat pembelian melalui peruncit dalam talian.

“Sebelum PKP, jualan kami kira-kira RM120,000 sebulan. Bagaimanapun, sejak bermula PKP, jualan kami telah meningkat kepada RM250,000 hingga RM400,000 sebulan,” katanya kepada Bernama.

Katanya mengguna pakai e-dagang membantu perniagaan beroperasi dengan lancar tanpa gangguan atau halangan terutamanya ketika PKP.

Syarikat itu memberi tumpuan kepada e-dagang untuk menarik pelanggan yang ingin mendapatkan produk kecantikan dan penjagaan kesihatan sambil meluangkan masa di rumah.

Bagaimanapun, selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jualan syarikat itu pada Julai merosot kepada RM150,000 hingga RM180,000 sebulan.

Liyana Ramli, seorang penganalisis teknologi maklumat pula berkata, beliau mempunyai banyak masa terluang yang pada pandangannya boleh dimanfaatkan dengan memberi tumpuan untuk mendapatkan pendapatan tambahan meskipun sebelum dilanda pandemik.

Sebagai usahawan separuh masa, wanita berusia 35 tahun itu mengambil peluang untuk meraih pendapatan tinggi dengan menjual cenderamata yang unik dan sejadah mini – sebagai buah tangan untuk sebarang majlis.

Beliau mengaut keuntungan yang memberangsangkan apabila menerima lonjakan permintaan sejak bermulanya PKP, dengan mendapat ribuan tempahan.

“Saya memulakan perniagaan cenderamata ini pada akhir 2017 dan menerima peningkatan pesanan yang mendadak semasa PKP sehinggalah PKPP dengan mencatat keuntungan melebihi RM70,000 sebulan.

“Pelanggan saya membeli sejadah mini untuk majlis perkahwinan sebelum dilanda pandemik ini. Meskipun mereka tidak dapat mengadakan majlis itu semasa PKP, mereka masih boleh menyimpannya,” katanya kepada Bernama.

Selepas banyak kajian tentang cara untuk memasarkan produknya secara dalam talian, Liyana mula menawarkan produknya dalam talian menerusi Facebook, Instagram dan Shopee bernama @doorgiftmurah_2018, dengan harapan beralih daripada pemasaran secara tradisional.

“Pulangan ke atas pelaburan membuatkan saya tersenyum lebar. Inilah yang sering dikatakan, bahawa e-dagang memberikan pulangan tambahan kepada hidup kita. Kini, produk saya telah sampai ke Sabah, Sarawak dan juga Brunei,” katanya.

Perniagaan lain yang menjual penyambung pelitup muka, pensanitasi tangan, produk kesihatan dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan turut mendapat keuntungan berikutan perubahan dalam keperluan pengguna semasa krisis.

Sementara itu, menurut kajian Commerce.Asia Enterprise, sejak penularan COVID-19 dan PKP, kebanyakan isi rumah memilih kemudahan membeli-belah dalam talian.

Pengurus Besar Commerce.Asia Aaliyah Soraya berkata kajian menunjukkan transaksi e-dagang melonjak sehingga 1,380 peratus pada Ogos 2020 berbanding tahun lepas.

Sejak itu, platform e-dagang muncul sebagai antara perniagaan yang berkembang pesat apabila pelanggan beralih daripada membeli-belah secara tradisional atau luar talian kepada dalam talian.

Kajian itu menunjukkan rakyat Malaysia meluangkan masa lebih 70 peratus di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram dalam tempoh itu, berbanding sebelum tempoh PKP.

Data tersebut turut menunjukkan jumlah paparan Instagram dan Facebook Live meningkat dua kali ganda pada minggu pertama PKP.

“Trend penyertaan yang berterusan di platform media sosial dilihat meningkat secara progresif, serta turut dapat dilihat daripada video kandungan berdasarkan permintaan dan penstriman acara secara langsung,” katanya.

Sehingga September 2020, sebanyak 140,883 PKS telah mengambil bahagian dalam platform e-dagang berbanding 42,620 PKS pada 2019.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan yang bertujuan mempercepatkan pelaksanaan e-dagang dalam kalangan usahawan, menunjukkan peningkatan penyertaan PKS yang ketara dalam platform itu.

Sebanyak 85,901 syarikat dan perniagaan dalam talian telah didaftarkan sehingga 30 September tahun ini berbanding 76,443 syarikat dan perniagaan dalam talian yang berdaftar sepanjang tahun 2019.

Jumlah pendaftaran tertinggi adalah pada Julai 2020 melibatkan 17,254 syarikat dan perniagaan dalam talian, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )