Permohonan PSU dengan nilai RM12.72 bilion diluluskan setakat 22 Jan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Kerajaan telah meluluskan permohonan Program Subsidi Upah (PSU) dengan nilai RM12.72 bilion setakat 22 Januari, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Khas PRIHATIN, sejumlah RM729.12 juta telah disalurkan kepada 63,718 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 511,566 pekerja di bawah PSU 2.0 dan setakat 22 Januari,” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-39 hari ini.

Beliau turut menegaskan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul dan ini disokong oleh pengesahan penarafan hutang Malaysia yang kekal pada tahap A3 oleh Moody’s yang menunjukkan kepercayaan kepada kecekapan pengurusan ekonomi negara ini semasa menghadapi krisis.

“Ia juga menunjukkan keyakinan atas kekukuhan kawalan disiplin fiskal dan prospek mampan pertumbuhan jangka sederhana. Bagi rakyat biasa, ia bermakna kerajaan masih mampu untuk melaksanakan program pemulihan ekonomi mengikut jadual yang dirancang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pemulihan ekonomi juga akan mewujudkan pekerjaan baharu dan kerajaan menyasarkan 500,000 pekerjaan baharu pada tahun ini.

“Walaupun kita mengalami defisit fiskal, perbelanjaan tambahan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2020 adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Setakat ini, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini telah memberi manfaat kepada 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan, dengan lebih 50 peratus inisiatif telah disalurkan.

Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuklah bantuan segera dan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, Subsidi Upah dan pelbagai langkah lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )