Perkeso jalin kerjasama bantu pekerja sertai semula pasaran pekerjaan

Perkeso jalin kerjasama bantu pekerja sertai semula pasaran pekerjaan

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menjalin kerjasama dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia serta lima institusi pengajian tinggi swasta bagi kerjasama jangka panjang berkaitan perlindungan keselamatan sosial Perkeso termasuk program pasaran buruh aktif.

Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dalam majlis secara maya antara Perkeso dan Persatuan PKS Malaysia bersama Universiti Taylor’s, Universiti HELP, Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya menyokong perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan PKS termasuk membantu pekerja menyertai semula pasaran pekerjaan.

“Memandangkan PKS menyumbang peluang pekerjaan kepada lebih daripada separuh populasi pekerja di Malaysia, semestinya Persatuan PKS Malaysia merupakan rakan strategik Perkeso yang paling sesuai dalam membentuk kerjasama dengan majikan PKS,” katanya berucap pada majlis itu.

Mohammed Azman berkata kerjasama jangka panjang tiga penjuru di antara Perkeso, majikan dan pihak universiti bertujuan meningkatkan kadar penempatan pekerjaan graduan institusi berkenaan menerusi program pasaran buruh aktif oleh Perkeso.

“Menerusi MoU ini, Perkeso berharap dapat mengurangkan ketidaksepadanan antara kemahiran yang disediakan oleh pihak universiti dengan kemahiran yang diperlukan oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata hingga Julai lepas, penularan COVID-19 telah mengakibatkan kira-kira 150,000 pekerja formal kehilangan pekerjaan dan lebih 768,700 individu kekal menganggur.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )