Peraduan APEC untuk promosikan keusahawanan wanita

Peraduan APEC untuk promosikan keusahawanan wanita

KUALA LUMPUR,. Anugerah Kecekapan dan Kejayaan Perniagaan APEC (APEC BEST) kali kelima yang akan diadakan pada 12-13 Nov ini, bertujuan memberi pengiktirafan kepada perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki dan diuruskan oleh wanita serta mempromosikan keusahawanan wanita di rantau ini.

Bertemakan “Kepimpinan Perniagaan Wanita dalam Pemulihan Pasca Pandemik”, anugerah itu dimulakan oleh Rusia dengan China, Jepun, Malaysia dan Mexico sebagai penaja bersama.

Dalam satu kenyataan, pengerusi Kerjasama Dasar Mengenai Wanita dan Ekonomi APEC, Carolina Cuevas berkata anugerah tahun ini bertujuan mengenal pasti dan mempromosikan kisah kejayaan pemilik dan pengurus perniagaan kecil dan sederhana cara mereka menangani impak yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19.

“Impak daripada krisis ini amat dirasai oleh wanita dan gadis di keseluruhan rantau APEC.

“Wanita menghadapi tahap kesukaran ekonomi dan kerugian pendapatan yang lebih tinggi, dan berhadapan dengan masa yang lebih lama untuk kerja-kerja rumah yang tidak berbayar,” kata beliau.

Cuevas juga maklum anugerah tahun ini akan menampilkan 20 calon daripada 11 ekonomi APEC, mewakili pelbagai sektor ekonomi – dari teknologi tinggi dan keusahawanan sosial sehinggalah pengeluaran makanan sihat.

Panel hakim pula terdiri daripada usahawan, pelabur, mentor, pegawai kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil, mewakili sembilan ekonomi APEC, akan menentukan pemenangnya.

Peserta perlu membentangkan model perniagaan masing-masing dan menjawab soalan daripada panel hakim.

Peraduan ini juga akan mengiktiraf enam pemenang dalam pelbagai kategori iaitu potensi pertumbuhan terbaik; daya tarikan antarabangsa; kelestarian perniagaan terbaik dalam menangani pandemik; projek revolusi perindustrian keempat; sokongan perniagaan keluarga terbaik dan pengurus atasan terbaik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )