PENJANA sokong aktiviti ekonomi gig

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan merangka dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor itu yang mampu memberi peluang pekerjaan baru ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebagai kerajaan yang prihatin terhadap keselamatan sosial dan kebajikan golongan itu, sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan bagi beberapa langkah.

“Pertama adalah geran sejumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan akan diperuntukkan bagi platform ekonomi gig untuk mencarum bagi pekerjanya di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO dan Skim i-Saraan KWSP.

“Kedua, peruntukan RM25 juta kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.

“Bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan kesemua inisiatif di atas, kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional,” katanya.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia dengan wakil-wakil dari sektor swasta dan sektor awam yang berkaitan.

Ekonomi gig menjadi segmen ekonomi yang semakin meningkat popular sejak akhir-akhir ini, terutama dalam kalangan generasi muda.

Ia adalah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Ekonomi gig dijangka terus berkembang pada 2020 selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi. Mengikut kajian AmBank Research, dianggarkan 37,260 diberhentikan kerja pada 10 bulan pertama 2019 dan jawatan kosong dalam pasaran tenaga kerja berada pada angka 83,700.

Kadar pemberhentian kerja yang tinggi ini menyebabkan platform ekonomi gig seperti Grab dan Food Panda mula menjadi pilihan untuk mereka menyara kehidupan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, untuk melengkapkan usaha digitalisasi, kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta bagi menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox yang akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata, ia akan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu.

“Contohnya, menguji penghantaran pembelian dalam talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri. Untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter akan disediakan.

“Ini termasuk melaksanakan proses mematikan setem, menyemak dan menuntut Wang Tidak Dituntut bermula 1 Oktober 2020 dan sesi e-temuduga bagi permohonan biasiswa Kerajaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Surina Shukri ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, kerajaan memberi tumpuan penting meningkatkan dan meransang daya tahan ekonomi digital negara dan seterusnya membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Surina berkata, pihaknya yakin peruntukan khas yang diberikan menerusi PENJANA akan memberi nafas baru kepada lebih banyak PKS dan usahawan mikro tempatan untuk berkembang dalam persekitaran ekonomi digital menerusi latihan yang bakal disediakan.

“Kerajaan telah memberi penekanan menerusi langkah digital untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan. Peruntukan khas untuk mendigitalkan PKS dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor e-dagang bakal menyaksikan sumbangan pertumbuhan sebanyak 20 peratus terhadap ekonomi digital pada tahun ini, berdasarkan unjuran Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan walaupun dengan norma baharu.

“Peruntukan sebanyak RM25 juta diberikan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk memberi latihan kepada rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan melalui tugasan platform dalam talian merupakan satu inisiatif yang tepat pada masa ini,” katanya.

Surina berkata, MDEC akan menyokong agensi -agensi kerajaan lain bagi menjayakan kempen Shop Malaysia Online bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang melibatkan peruntukkan RM70 juta.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin ketika mengulas mengenai ekonomi gig berkata, penubuhan National Technology & Innovation Sandbox, dijangkakan akan ada lebih banyak lagi aktiviti perniagaan dan ekonomi di Malaysia yang akan menggunakan aplikasi teknologi tinggi, seperti Kecerdasan Buatan (AI), drone, dan IoT sejajar dengan ledakan Revolusi 4.0 di negara ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )