PENJANA: Program Pertanian Bandar keluarkan hasil 8.800 tan metrik menjelang 2025

PENJANA: Program Pertanian Bandar keluarkan hasil 8.800 tan metrik menjelang 2025

KOTA BHARU,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pengeluaran hasil pertanian yang selamat dimakan sebanyak 8,800 tan metrik menjelang 2025, menerusi Projek Pertanian Bandar di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, menerusi program pertanian bandar berkenaan ia dapat membantu isi rumah meringankan kos sara hidup, melalui pengeluaran sendiri bahan makanan dengan bimbingan Jabatan Pertanian.

Katanya, dengan adanya pengeluaran hasil pertanian menerusi program itu juga ia sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup setiap pengusaha sebanyak RM1,296 pada tahun 2021 kepada RM1,680 pada tahun 2025, sekiranya ia dilaksanakan secara berterusan.

“Program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar secara individu atau berpasukan (komuniti,) dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan, dalam menghasilkan produk pertanian sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual.

“Malah, menerusi program ini yang telah diperuntukan di bawah PENJANA sebanyak RM900,000 di Kelantan sejak Ogos tahun lalu, yang sekali gus dapat memastikan pengeluaran bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan, selain mewujudkan interaksi sosial dan menggalakkan komunikasi dalam kalangan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Memungut Hasil Projek Pertanian Bandar Komuniti Belia Pasir Pekan di Masjid An-Nur, Mukim Kubang Labu di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengarah Pertanian Kelantan NorBahani Zakaria.

Mengulas lanjut Che Abdullah berkata, Projek Pertanian Bandar Komuniti Belia Pasir Pekan berkenaan merupakan penerima peruntukan sebanyak RM23,000, menerusi Projek Pertanian Bandar di bawah PENJANA yang melibatkan 10 individu secara berkelompok.

“Mereka telah menanam sebanyak 1,000 pokok terung dan telah menuai hasil sebanyak tiga kali sejak tahun lalu, selain tanaman ini turut memberi pulangan lumayan kepada mereka.

“Kita menjangkakan mereka mampu mengeluarkan hasil sebanyak 6,000 kilogram terung dalam tempoh enam bulan dari sekarang dengan hasil yang mampu mencecah sehingga RM30,000,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )