Pengusaha katering agih makanan kepada petugas hadapan di lapangan terbang

Pengusaha katering agih makanan kepada petugas hadapan di lapangan terbang

GEORGE TOWN,. Mengenang keringat tenaga petugas barisan hadapan yang bekerja tidak kira masa bagi mengekang penularan COVID-19, seorang pengusaha katering mengambil inisiatif untuk memberikan makanan percuma kepada mereka.

Pengasas Arsalan Food Industries Tariq Madarsha Hajashareef, 38, berkata niat untuk memberikan makanan percuma berupa nasi beriani dan nasi ayam kam heong, kepada petugas hadapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu bagi menghargai pengorbanan petugas di situ.

“Alhamdulilah hari ini kami menyediakan 300 bungkus nasi untuk diedarkan kepada 60 petugas barisan hadapan kita yang bertugas di sini (LTAPP), bagi menghargai sumbangan mereka yang tidak kenal erti penat lelah semasa menjalankan tugas, serta kepada petugas di Kompleks Masyarakat Penyayang dan Hospital Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di lapangan terbang itu di sini semalam.

Tariq berkata, rezeki itu dikongsi selepas berjaya dalam perniagaan katering yang baharu diceburinya pada Julai tahun lalu, selepas kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah kolej swasta berkata, biarpun berdepan detik sukar dan terpaksa beralih bidang kepada perusahaan katering makanan, beliau bersyukur perniagaan itu maju dan semakin mendapat tempahan tinggi.

Sementara itu, seorang pegawai perubatan pejabat kesihatan di pintu masuk antarabangsa LTAPP Dr. Hussainy Shaik Mohd, 28, berkata, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengusaha Arsalan yang tampil memberikan makanan kepada semua petugas di situ.

“Kami amat menghargai atas sumbangan semua pihak termasuk Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kerana tidak pernah putus-putus memberikan sumbangan kepada kami,” katanya turut meminta masyarakat untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi sama-sama melawan COVID-19.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )