Pengusaha ikan sangkar air payau perlu rancang jadual ternakan

Pengusaha ikan sangkar air payau perlu rancang jadual ternakan

KUALA TERENGGANU,. Pengusaha ikan sangkar air payau di Terengganu perlu membuat perancangan sebaiknya pusingan penternakan, bagi memastikan ikan mencapai saiz pasaran dapat dijual sebelum musim tengkujuh bermula, bagi mengelak risiko kematian ikan yang boleh mengakibatkan kerugian besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, bagi ikan yang belum mencapai saiz pasaran pula, pengusaha disyorkan untuk mengurangkan ‘tekanan’ kepada ikan dengan mengurangkan kepadatan, memastikan aliran air yang lancar dan sentiasa peka dengan perubahan air di persekitaran sangkar ternakan.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 10 Nov lepas menyaksikan empat pengusaha ikan sangkar air payau di Kampung Gong Tepah, Sungai Marang mengalami kerugian RM55,500, apabila ikan siakap dan kerapu bersaiz antara 500 gram hingga 1.5 kilogram setiap seekor, mati.

“Kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah turun ke lokasi tersebut bagi menyiasat serta membuat persampelan air dan ikan, sebelum dihantar ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Berdasarkan bacaan ‘in-situ’ di kawasan yang terjejas mendapati bacaan oksigen terlarut (DO), kekeruhan, TDS (jumlah pepejal terampai) dan saliniti (kadar garam terlarut dalam air) berada di luar julat ternakan, menyebabkan kematian ternakan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Keadaan itu berpunca daripada hujan lebat musim tengkujuh yang menyebabkan air tawar mengalir turun dalam jumlah yang banyak dari hulu sungai dan mengakibatkan kadar kemasinan air di lokasi sangkar ternakan ikan menurun secara mendadak.

Katanya, pengusaha hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang apabila mendapati ikan siakap serta kerapu dalam keadaan lemah dan berenang di permukaan air. Bagaimanapun, ikan tilapia yang diternak tidak terjejas.

Dr Azman berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri kepada pengusaha ikan sangkar yang terlibat.

“Bantuan sedang diproses dan jumlahnya bergantung kepada kerugian yang dialami. Kita belum muktamadkan berapa peratus bantuan akan diberikan, daripada nilai kerugian pengusaha,” katanya.

Terdapat lebih 600 pengusaha ikan sangkar di seluruh Terengganu ketika ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )