Pengguna Touch ‘n Go Digital cecah 16.8 juta orang

Pengguna Touch ‘n Go Digital cecah 16.8 juta orang

KUALA LUMPUR,. Perniagaan digital CIMB Group Holdings Bhd terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan pengguna berdaftar Touch ‘n Go Digital meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada 16.8 juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata tawaran pelaburan GO+ yang tersedia dalam Touch ‘n Go eWallet, juga melebihi dua juta pelabur dengan jumlah aset di bawah pengurusan meningkat sebanyak 261.8 peratus dalam suku keempat tahun kewangan 2021 kepada RM492 juta setakat Disember 2021.

Bagi operasi lain CIMB Group di rantau ini, pelanggan CIMB Philippines meningkat sebanyak 64.5 peratus kepada 5.1 juta dan akaun depositnya naik sebanyak 75.2 peratus kepada RM1.29 bilion.

“Ini menjadikan CIMB Philippines bukan sahaja satu-satunya bank digital utama di Filipina, tetapi juga satu daripada bank digital berkembang paling pantas di ASEAN,” katanya pada taklimat media maya mengenai prestasi Tahun Kewangan 2021 kumpulan, semalam.

Abdul Rahman berkata, CIMB Group menyaksikan pemulihan operasi kukuh dalam semua segmen perniagaannya dan geografi, disokong oleh pertumbuhan padu dalam pendapatan operasi, disiplin dalam membendung peningkatan kos dan peruntukan lebih rendah mengikut sasaran.

“Kami juga mencatatkan kemajuan ketara dalam pelan strategik Forward23+ yang mana kami dapat memenuhi semua sasaran keuntungan tahun kewangan 2021 dalam purata pulangan ekuiti, nisbah kos kepada pendapatan dan peruntukan kos kredit.

“Meskipun pertumbuhan pinjaman berada di bawah sedikit daripada sasaran ketika membentuk semula portfolio yang menumpukan kepada bahagian pelaburan tertumpu dan melindungi kualiti aset bagi menambah baik pulangan diselaras risiko, kami melihat momentum pertumbuhan aset yang positif pada suku keempat tahun kewangan 2021.

“Momentum ini, beserta dengan prospek ekonomi lebih positif pada 2022, menyediakan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan berterusan kami,” katanya.

Mengenai kemampanan, Abdul Rahman berkata kumpulan itu pada 2021 mencapai rangking peratusan ke-79 dalam industri perbankan global dalam Penilaian Kemampanan Korporat (CSA) S&P Global, mencapai sasaran pelan Forward23+ menjelang 2024, tiga tahun mendahului sasaran.

CSA S&P Global diguna untuk menilai syarikat untuk dimasukkan ke senarai Dow Jones Sustainability Index.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )