Pemuda lepas tawaran sambung pengajian semata-mata mahu jadi penternak lembu

MELAKA,. Melepaskan tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam demi mengejar impian menjadi penternak lembu mungkin dianggap ‘gila’ bagi sesetengah orang, namun Muhammad Safid Affendi Shamsudin, 28, membuktikan sebaliknya.

Bermula daripada sekadar minat dengan membela tiga ekor lembu di belakang rumah kira-kira 10 tahun lepas, penternak muda itu kini memiliki lebih 100 ekor lembu di dua buah kandang, masing-masing yang diusahakannya di Kampung Solok Bukit Baru, Semabok, Duyong dan Semujuk di Merlimau.

Kini beliau merancang untuk menambah satu lagi kandang lembu di Lendu, Alor Gajah, tahun depan.

Muhammad Safid Affendi berkata selepas tamat belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, beliau nekad melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di negeri ini bagi mengejar cita-citanya menjadi penternak berjaya.

Berkat sokongan penuh ibunya, Rabiah Awang, 62, seorang ibu tunggal serta dua abangnya, Muhammad Safid Affendi membeli tiga ekor lembu baka Kedah Kelantan (K-K) di Serdang, Selangor dengan modal RM5,000.

“Alhamdulillah permintaan diterima amat tinggi dan adakalanya bekalan tidak mencukupi terutamanya pada musim perayaan. Contohnya pada Aidiladha lepas, saya menerima tempahan 60 ekor lembu, sehingga perlu mencari bekalan di luar Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurut Muhammad Safid Affendi, beliau juga tidak menyangka rezekinya bertambah berlipat kali ganda semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menerima tempahan antara 100 dan 150kg daging sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan melalui penghantaran dari rumah ke rumah.

Katanya beliau menerima tempahan pembelian setiap hari melalui dalam talian dan pesanan melalui aplikasi Whatsapp, dan menjual daging pada kadar RM33 sekilo.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata antara cabaran utama yang dihadapi penternak sepertinya ialah serangan penyakit kuku dan mulut pada haiwan ternakan itu sehingga pernah mengalami kerugian hampir RM20,000 apabila 20 ekor lembunya mati disebabkan penyakit berkenaan.

“Ketika itu saya hampir putus asa dan rasa mahu tutup sahaja kandang yang diusahakan. Namun, ibu dan keluarga tetap memberi galakan supaya bersabar dan minta saya teruskan usaha menternak baki lembu yang masih tinggal.

“Nasihat saya kepada golongan muda yang lain, jangan terlalu memilih kerjaya dan cuba usaha apa yang kita minat. Dalam perniagaan memang ada masa turun naik tetapi seperti menjaga lembu ini mungkin kotor dan penat tetapi hasilnya sangatlah berbaloi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )