Peluang terbuka PKS teroka pasaran China

Peluang terbuka PKS teroka pasaran China

KUALA LUMPUR,. Syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memiliki potensi dan peluang mengembangkan perniagaan di pasaran China dengan lebih mudah dan berkesan.

Ia susulan langkah Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR) menjalinkan kerjasama dengan China Construction Bank Malaysia Bhd (CCBM) dalam menawarkan akses pasaran dan kewangan di pasaran pengguna terbesar dunia.

Presiden PMOBOR, Datuk Iskandar Sarudin, berkata menerusi kerjasama itu syarikat tempatan terutama PKS memiliki keperluan perniagaan yang komprehensif merangkumi maklumat pasaran serta kemudahan kewangan dari CCBM.

“Bermula hari ini, ahli PMOBOR dan bukan ahli objektif memiliki ruang untuk meneroka pasaran China dengan lebih berkesan kerana persatuan dan CCBM akan menawarkan pelbagai akses bagi meningkatkan keberkesanan pembabitan usaha di pasaran berkenaan.

“PMOBOR akan berperanan sebagai pemudah cara, manakala CCBM pula akan menyediakan akses kewangan dan maklumat yang telus dan sahih mengenai pasaran China.

“Ekosistem lengkap ini akan memudahkan syarikat tempatan terutama PKS meninjau peluang pasaran dalam pelbagai sektor ekonomi seperti makanan dan minuman (F&B) dan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui BH.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) secara maya antara PMOBOR dan CCBM.

Pada majlis itu PMOBOR diwakili Iskandar, manakala CCBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Felix Feng Qi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PMOBOR, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi; Timbalan Ketua Setiausaha PMOBOR, Datuk Seri Dr Md Zabid Abdul Rashid; dan Ahli Majlis PMOBOR, Datuk Sofian Mohd Salleh.

Iskandar berkata, PMOBOR sebagai pemudah cara turut membuka keahlian kepada syarikat bagi membentuk kesepakatan dalam meneroka pasaran China serta negara yang menyatakan ikrar menyokong inisiatif One Belt One Road.

Katanya, selain fokus kepada penyertaan fizikal di pasaran baharu, PMOBOR juga membuka ruang kepada ahli dan bukan ahli meneroka perniagaan maya di pasaran ekonomi kedua terbesar dunia.

“Kita galakkan semua syarikat mengembangkan perniagaan menerusi dalam talian kerana platform ini dilihat penampan kepada krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19.

“PMOBOR juga akan membantu syarikat tempatan menyertai pameran perdagangan antarabangsa seperti Pameran Digital Canton bagi mengembangkan produk ke pasaran lebih meluas.

“Kita akan kenal pasti syarikat syarikat yang layak bukan sahaja untuk mendapatkan bantuan pembiayaan CCBM, malah produk yang berkemampuan untuk dipasarkan ke peringkat global,” katanya.

PMOBOR ketika ini memiliki kira-kira 100 ahli dan pengambilan ahli baru bergantung kepada saringan pelbagai peringkat sebelum diterima sebagai ahli.

Iskandar berkata, bagi memastikan maklumat mengenai peranan PMOBOR dan CCBM membantu syarikat tempatan terutama PKS mengembangkan perniagaan, satu rangka strategi akan diwujudkan bagi memastikan keberkesanan kerjasama dua entiti itu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa bagi membentuk strategi tertentu bagi menyalurkan maklumat kepada ahli dan bukan ahli PMOBOR,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )