Pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia ditangguh

Pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia ditangguh

Oleh Nurul Hanis Izmir and Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR,. Mandat biodiesel B20 Malaysia akan ditangguhkan selama enam bulan hingga awal tahun 2022, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Ravi Muthayah.

“Di seluruh negara, kami memberi keutamaan untuk rancangan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 kerajaan kerana ia lebih penting. Kami mempunyai sumber daya yang terhad dan harus mengenal pasti perkara yang harus diberi keutamaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Awal hari ini, Naib Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Togar Sitanggang ketika bercakap di Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit (POTS 2021) secara maya, hari ini, mengesahkan bahawa rancangan Indonesia untuk melancarkan mandat B40 mungkin ditangguhkan sehingga 2022.

Sementara itu, Pengerusi LMC International, Dr James Fry berkata Malaysia kerap menangguhkan pelaksanaan itu pada setiap tahun.

Mengulas mengenainya, Ravi berkata adalah tidak betul mendakwa bahawa Malaysia telah menangguhkan pelaksanaan program biodiesel itu.

“Kami telah melaksanakan biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan dan B7 untuk industri sejak 2019. Tidak tepat untuk mengatakan bahawa Malaysia telah menunda pelaksanaan program biodiesel.

“Kami juga telah melaksanakan program B20 di Langkawi dan Labuan, dan seterusnya kami akan melaksanakannya di Sarawak dan Sabah, selepas kami menaik taraf depot,” katanya.

Mandat untuk menghasilkan biofuel dengan komponen minyak sawit 20 peratus dikenali sebagai B20 untuk sektor pengangkutan, pertama kali dilancarkan pada Januari, 2020, dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada pertengahan bulan Jun tahun ini.

Sementara itu, Togar daripada GAPKI berkata Indonesia masih melakukan perbincangan dan ujian makmal sebelum mengujinya di jalan raya terlebih dahulu.

“Saya menjangka ujian makmal B40 akan dilakukan sekitar separuh pertama tahun 2021.

“Komposisi B40 akan menjadi 40 peratus ester metil asid lemak (FAME) atau 30 peratus FAME dicampurkan 10 peratus Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) atau gabungan FAME-HVO, bergantung kepada ketersediaan HVO daripada Pertamina (syarikat tenaga milik kerajaan Indonesia),” katanya pada hari ketiga POTS Digital 2021.

Bellau berkata ada yang mendakwa 40 peratus FAME seduah mencukupi tetapi industri automotif Indonesia dan kerajaan percaya bahawa 30 peratus adalah campuran maksimum.

“Saya berpendapat bahawa pelaksanaan B40 tidak akan berlaku dengan begitu cepat walaupun pada tahun 2022. Ia akan bergantung kepada keadaan ekonomi dan pandemik pada 2021.

“Pandemik itu telah menimbulkan masalah daripada segi logistik, mesin dan mereka yang membinanya kerana mereka tidak dibenarkan memasuki negara yang mengakibatkan proses pengoperasian dihentikan,” katanya,

Terdahulu dalam pembentangannya di seminar itu, Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke berkata pengeluaran/penggunaan biodiesel masih tinggi di Indonesia, Amerika Syarikat, Brazil dan Kesatuan Eropah pada tempoh Oktober sehingga Disember, 2020.

“Pengeluar dan pengguna minyak sawit Indonesia di negara pengimport membiayai sebahagian program biodiesel Indonesia. Tetapi adakah mandat akan dikurangkan pada tahun 2021? ” soal beliau merujuk kepada harga dagangan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )