Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih minggu kelima, catat RM649 juta

Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih minggu kelima, catat RM649 juta

KUALA LUMPUR,. Pelabur asing terus kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut minggu lepas dengan mencatatkan aliran masuk bersih berjumlah RM649 juta.

Bagaimanapun, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding aliran masuk bersih asing minggu sebelumnya sebanyak RM1.08 bilion.

Menurut MIDF Research, pelabur asing dan peruncit tempatan merupakan pembeli bersih bagi minggu berakhir 11 Mac, dengan jumlah aliran masuk bersih pada RM896.5 juta.

Dalam laporan strategi ekuitinya hari ini, bank pelaburan itu berkata pada Isnin minggu lepas, peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing membeli RM57.8 juta dan RM142.6 juta bersih ekuiti tempatan.

Sementara itu, institusi tempatan memulakan urus niaga pada minggu berkenaan sebagai penjual bersih, merekodkan sejumlah -RM200.4 juta.

‘’Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih setiap hari dalam tempoh seminggu itu sejak 7 Feb atau satu bulan yang lalu, iaitu selama 25 hari berturut-turut, tanpa sebarang gangguan.

‘‘Aliran masuk asing terbesar yang dicatatkan minggu lepas ialah pada Khamis sebanyak RM172.6 juta dan aliran masuk paling sedikit pada Selasa, berjumlah hanya RM76.36 juta,’’ katanya.

Sebaliknya, institusi tempatan pula adalah penjual bersih sejak 4 Feb, tambah MIDF Research.

Aliran keluar bersih terbesar minggu lepas adalah pada hari Rabu dan yang paling sedikit pada hari Jumaat masing-masing berjumlah -RM223.7 juta dan -RM84.49 juta.

Bagi pelabur runcit, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari dalam seminggu, kecuali hari Jumaat apabila mereka menjadi penjual bersih dengan merekodkan sebanyak RM32.5 juta.

Belian bersih terbesar pula ialah pada Selasa pada RM121.7 juta, manakala terkecil pada Khamis dengan sebanyak RM17.21 juta,’’ katanya.

‘’Secara keseluruhan, untuk minggu kesepuluh 2022, pelabur asing muncul kukuh sebagai pembeli bersih sebanyak RM649.1 juta, diikuti peruncit pada RM247.4 juta manakala institusi tempatan ialah penjual bersih dengan merekodkan -RM896.5 juta.

“Pada asas tahun setakat ini, kami mendapati sebanyak RM4.41 bilion dalam aliran masuk bersih daripada pelabur asing dan RM0.63 bilion daripada peruncit. Sementara itu, institusi tempatan adalah penjual bersih iaitu -RM5.04 bilion,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research berkata ringgit menyusut nilai dengan menghampiri paras ambang 4.20 berbanding dolar AS minggu lepas disebabkan peningkatan permintaan untuk mata wang selamat di tengah-tengah konflik yang berterusan di Ukraine.

Di samping ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing, ringgit gagal mengekalkan momentum menaiknya berikutan premium hasil Malaysia yang mengecil berbanding Perbendaharaan AS dan bacaan inflasi AS yang tinggi.

Walaupun harga minyak mentah meningkat, terdapat juga kekurangan minat belian terhadap ringgit dalam situasi sentimen pasaran yang tidak mengambil risiko.

‘’Dolar AS dijangka terus meningkat pada minggu ini di tengah-tengah jangkaan penjualan dalam pasaran ekuiti AS disebabkan kebimbangan geopolitik.

‘’Pembelian dolar AS ditambah dengan potensi kenaikan kadar 25 mata asas Rizab Persekutuan berpotensi menolak indeks USD (DXY) di atas paras 100.0, sekali gus mungkin mengheret ringgit ke sekitar zon 4.20 hingga 4.21.

”Bagaimanapun, pertumbuhan dua angka yang berterusan dalam eksport Malaysia mungkin mengehadkan kejatuhan nilai ringgit,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )